KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan Putrajaya berpendirian, fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum (Malaysia) sebagai sesat dan menyeleweng, tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.
Panel itu berpuas hati, sesebuah syarikat tidak ‘menganut’ agama Islam untuk diklasifikasikan secara sah sebagai penganut.
“Kami mendapati tidak timbul keperluan untuk menyingkap tabir perbadanan (lifting of corporate veil) kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi semestinya digerakkan oleh individu-individu.
“Mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan 1 dan 4.
“Hakikat ini adalah sangat jelas di mana fatwa itu secara nyata membezakan antara individu (secara sah) dan syarikat (secara tidak sah),” ujar beliau ketika membacakan penghakiman ringkasnya.
Tun Tengku Maimun menyampaikan keputusan majoriti ketika membenarkan rayuan SIS Forum berhubung pertikaian yang menyentuh fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.
Beliau bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Nallini Pathmanathan membenarkan rayuan tersebut manakala Datuk Abu Bakar Jais mencapai keputusan menentang.
Ketika rayuan pada 2 Disember tahun lalu, prosiding didengar oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan termasuk Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Namun, keputusan dibuat menurut Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana panel bersidang hari ini tidak melibatkan Abdul Karim yang bersara pada April lalu selepas mencapai usia persaraan wajib 66 tahun.
Dalam keputusan itu, Tun Tengku Maimun turut berkata, meskipun pertikaian pihak-pihak adalah berhubung fatwa, isu di hadapan mahkamah adalah mengenai tafsiran perkataan-perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam Butiran 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (‘Butiran 1’).
Ujar Ketua Hakim Negara, pada dasarnya perkataan itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat.
Kata beliau, tafsiran peruntukan perlembagaan adalah seiring dengan kedudukan hanya seorang manusia sebenar dapat melafazkan kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji.
“Dalam konteks yang sama, sesebuah syarikat, sebagai orang buatan atau ciptaan tiada kapasiti untuk bertaubat sepertimana yang dicadangkan oleh fatwa tersebut.
“ Tidak timbul juga soal sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak patut dibiarkan tanpa bertanggungjawab atas perbuatan yang melanggar fatwa tersebut.
“Kebertanggungjawaban atas apa-apa pelanggaran fatwa tersebut adalah sedia terletak di bahu individu-individu yang menggerakkan syarikat, pertubuhan atau institusi tersebut.
“Pandangan kami ini dikuatkan oleh perenggan empat fatwa tersebut yang menghendaki mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralism agama bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
“Supaya kami tidak disalah faham, kami mengulangi bahawa panel ini tidak membuat apa-apa komen mahupun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut,” katanya lapor MalaysiaGazette di Putrajaya pada Khamis.
Menurut Ketua Hakim Negara, rayuan di hadapan panel itu hanya berkenaan had-had kuasa responden untuk menggubal fatwa tersebut dari segi pemakaiannya dalam lingkungan had yang ditetapkan oleh Butiran 1.
SIS Forum dan pengasasnya, Datin Zainah Mahfoozah Anwar merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan 12 tahun lalu yang melabelnya sebagai sesat dan menyeleweng.
Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme, sebagai menyimpang daripada Islam.
Fatwa itu turut mengarahkan penerbitan mengandungi pandangan liberal dan plural berkaitan Islam diharamkan dan disita serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menapis laman sesawang sosial yang bertentangan hukum syarak.
Semakan kehakiman itu yang difailkan pada Oktober 2014 bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2020 serta dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023.
Dalam semakan kehakiman itu, mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Pada 2 Disember tahun lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam-peguam SIS Forum, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth manakala Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Aidil Khalid mewakili jawatankuasa fatwa. Yusfarizal Yussoff pula berhujah mewakili MAIS.