KUALA LUMPUR, – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama agar bersatu dalam Himpunan Tolak Perang yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2025 (Jumaat), selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan yang dimuat naik ke media sosial hari ini, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik global, termasuk kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, serta serangan ke atas Iran yang menurutnya hanya menambah bara kepada peperangan yang telah lama berlarutan di rantau Timur Tengah.
“Cukuplah! Dunia sudah terlalu lama dibelenggu dengan kezaliman dan kerakusan kuasa,” tegas beliau.
Beliau turut mengutuk tindakan menyerang hospital, sekolah dan kawasan awam yang mengorbankan nyawa kanak-kanak serta wanita tidak berdosa, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Bang Mat tidak akan berdiam diri. Rakyat Malaysia tidak boleh terus membisu. Kita mesti suarakan penentangan terhadap perang, penindasan dan penjajahan,” katanya.
Himpunan yang dianjurkan dijangka berlangsung secara aman, dengan objektif menyampaikan mesej solidariti kepada rakyat Palestin, Iran dan semua mangsa konflik bersenjata di seluruh dunia.
Mohamad Sabu turut menegaskan bahawa Malaysia perlu menyampaikan mesej yang jelas di peringkat antarabangsa, bahawa negara ini menolak sebarang bentuk peperangan dan kekejaman.
Kita suarakan mesej jelas, Malaysia tolak perang! Rakyat Malaysia bersama perjuangan kemanusiaan!” ujarnya menutup kenyataan.