48 dokumen bawah OSA masih belum dinyahsulit, bicara pecah amanah RM6.6 bilion tangguh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Sejumlah 48 dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) masih belum dinyahsulit untuk digunakan pada perbicaraan kes pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dokumen-dokumen berkenaan memerlukan masa untuk dituruntaraf sebelum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Kata beliau, dokumen berkenaan antaranya dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Unit Perancang Ekonomi (UPE), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta kertas Kabinet.

“Dokumen yang dipohon oleh pihak pembelaan masih dikategorikan sebagai sulit di bawah OSA dan memerlukan tempoh sebulan untuk dituruntaraf oleh pegawai berkaitan,” beritahu beliau.

Muhammad Saifuddin juga berkata, pihak pendakwaan menerima surat daripada pembelaan semalam yang memohon penangguhan kes kerana masih belum menerima sejumlah besar dokumen untuk perbicaraan.

Menurut beliau, dokumen-dokumen berkenaan perlu disediakan terlebih dahulu untuk digunakan oleh pembelaan ketika sesi soal balas saksi-saksi.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Husin menangguhkan kes yang sepatutnya bermula hari ini dan menetapkan 22 Julai untuk perbicaraan.

“Sila pastikan semua dokumen berkaitan kes diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula (22 Julai). Pada 4 Jun lalu, perbicaraan tidak jalan dan hari ini juga tidak dapat diteruskan. Saya tidak mahu dengar lagi alasan penangguhan disebabkan dokumen yang tidak diserahkan,” kata hakim.

Terdahulu, peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan memaklumkan, pihaknya menyedari sejumlah 335 dokumen masih belum diserahkan kepada pihak pembelaan termasuk 59 dokumen melibatkan pernyataan milik anak guamnya.

Ujar beliau, pihaknya memohon penangguhan kerana kesemua dokumen itu penting untuk menyediakan pembelaan dan akan memprejudiskan anak guamnya jika tidak diserahkan, lapor Utusan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib sependapat dengan Kumaraendran kerana pembelaan bekas Perdana Menteri turut bergantung kepada keterangan Mohd. Irwan.

Ujar peguam itu, beberapa mekanisme dan kelulusan adalah di bawah pengetahuan Mohd. Irwan, maka pernyataan beliau serta dokumen yang dilampirkan adalah sama relevan terhadap Najib.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya di antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat