PTPTN Agih Zakat Kepada 600 Pelajar dan Keluarga Asnaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengagihkan zakat sebanyak RM120,000 kepada 600 pelajar dan keluarga asnaf di bawah Program Setulus Kasih PTPTN.

Menerusi program itu, sumbangan disalurkan menerusi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime, selain penyerahan kotak makanan barangan keperluan harian.

Dalam kenyataannya, PTPTN berkata, pihaknya sentiasa prihatin dalam membantu masyarakat terutamanya golongan asnaf, melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Tujuan program ini adalah untuk menggalakkan penabungan bagi tujuan pendidikan serta membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Setiap pelajar dan keluarga akan menerima simpanan akaun Simpan SSPN Prime dan sumbangan kotak makanan berjumlah RM200,” kata PTPTN.

Program ini membabitkan negeri terpilih di seluruh negara.

Bagi memastikan bantuan yang diberikan dinikmati golongan sasar, program ini turut membabitkan kerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat.

PTPTN berkata, lokasi pertama bagi Program Setulus Kasih ini adalah di Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, agihan sumbangan berjumlah RM20,000 merangkumi simpanan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM10,000 dan kotak makanan bernilai RM10,000 disampaikan kepada 100 pelajar dan keluarga asnaf,” katanya.

Sumbangan disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, di Surau Kampung Melayu, Ayer Hitam, Pulau Pinang, pada Jumaat lalu.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi Cawangan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

PTPTN berkata, pihaknya sudah mewujudkan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Simpanan dalam SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan untuk manfaat masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.

“Selain itu, ia turut memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan,” katanya.

PTPTN berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan beban hidup golongan yang memerlukan, meningkatkan motivasi anak-anak untuk terus mencipta kejayaan dalam akademik dan sahsiah, sekali gus menjadi modal insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), PTPTN akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR demi pembangunan anak bangsa selari dengan motto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin, Kami Kongsi, Kami Bantu,” katanya. – BH

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat