PN Selangor desak ADUN Seri Kembangan mohon maaf kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) Selangor menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor susulan teguran keras baginda berkaitan isu penghormatan terhadap institusi Raja dan penghayatan Rukun Negara.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, titah Sultan Selangor yang secara khusus merujuk kepada Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew menunjukkan isu berkenaan bukan lagi sekadar polemik politik biasa.

Menurut beliau, teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah itu jelas menyentuh soal prinsip asas kenegaraan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

“Titah DYMM Sultan Selangor bukan sekadar satu peringatan biasa, tetapi satu teguran yang amat serius terhadap sikap keangkuhan dan kebiadapan segelintir pemimpin politik yang dilihat gagal memahami batas adab, kesopanan dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu demi memelihara keharmonian dan kesentosaan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata, PN Selangor menjunjung kasih dan merafak sembah atas titah Sultan Selangor yang menegaskan kepentingan memahami serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara selain menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kestabilan negeri dan Persekutuan.

“Justeru, Perikatan Nasional Selangor menggesa YB Seri Kembangan segera mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, tanpa syarat kepada DYMM Sultan Selangor serta seluruh rakyat Negeri Selangor atas kenyataan dan tindakannya yang telah menimbulkan keresahan awam serta mencetuskan ketegangan yang tidak sewajarnya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mendesak Menteri Besar Selangor selaku Ketua Majlis bagi Dewan Negeri Selangor mengambil tindakan tegas terhadap ADUN Seri Kembangan termasuk merujuk wakil rakyat itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor.

Menurut Azmin, kegagalan kerajaan negeri mengambil tindakan hanya akan menimbulkan persepsi bahawa Dewan Negeri Selangor mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu disiplin dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

“Perikatan Nasional Selangor menegaskan bahawa isu ini melangkaui perbezaan politik kepartian.

“Mana-mana pihak yang dipilih menjadi wakil rakyat wajib memahami bahawa kebebasan bersuara mesti datang dengan tanggungjawab, bukan kekebalan untuk mencabar adab, tatasusila dan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat