Mandiri tuntut Kamil Munim mohon maaf atau berdepan saman RM10 juta

KUALA LUMPUR,— MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd. mengarahkan peguam memulakan tindakan undang-undang terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung kenyataan media yang didakwa berunsur fitnah.

Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi berkata kenyataan Kamil pada 17 Mei lalu mengaitkan Mandiri dengan dakwaan penerimaan dana asing bagi tujuan propaganda politik, operasi tentera siber, mencatur naratif politik domestik, ancaman keselamatan negara serta menjadi proksi kepada kuasa asing.

Menurutnya, dakwaan itu turut menyebut kononnya terdapat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 kepada Pengarah Eksekutif Mandiri dan beberapa pihak lain yang dikaitkan dengan organisasi tersebut.

Sehubungan itu, firma guaman Daim & Gamany telah menghantar surat tuntutan bertarikh 18 Mei kepada Kamil melalui e-mel, manakala serahan tangan dijangka dibuat pada 19 Mei.

Berdasarkan surat tuntutan itu, pihak Mandiri menuntut Kamil menarik balik dakwaan berkenaan, membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan berjumlah RM10 juta berhubung kecederaan serta kerosakan reputasi yang didakwa dialami.

Mandiri memberi tempoh 48 jam daripada tarikh penerimaan surat tuntutan untuk Kamil menjawab dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Sekiranya gagal, kami akan meneruskan tuntutan saman sebanyak RM10 juta,” kata Amir.

Beliau turut menegaskan pihaknya akan terus memantau akaun-akaun yang memainkan tuduhan tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia berlarutan.

“Semakin ditekan, semakin melawan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat