Penipuan dana kerajaan RM18 juta, termasuk RM10.4 juta babitkan penjawat awam di London

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengesan penipuan dana kerajaan berjumlah RM18 juta sepanjang tempoh lima tahun sehingga 2024, termasuk RM10.4 juta membabitkan penjawat awam berkhidmat di sebuah jabatan di London.

Akauntan Negara Nor Yati Ahmad berkata kecurangan itu dikesan jabatan berkenaan berdasarkan laporan perakaunan yang diterima, termasuk daripada pihak ketiga.

“Setakat 2019 hingga 2024, berdasarkan transaksi yang JANM siasat, kita berjaya menyelesaikan dan mengesan dana kerajaan berjumlah RM18 juta yang hilang.

“Contohnya dalam satu kes, kita mengesan ada penjawat awam terbabit dalam kehilangan dana awam berjumlah RM10.4 juta di sebuah jabatan di London. Tindakan susulan sudah diambil oleh pihak berkuasa.

“Kes itu membabitkan kakitangan awam atau akauntan kerajaan yang menguruskan akaun berkenaan atau mereka yang mendapat capaian dalam proses kewangan itu,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan. Majlis dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, lapor BH.

Katanya, manipulasi prosedur kewangan dan sistem perakaunan kerajaan antara salah laku sesetengah penjawat awam dalam kes penipuan perakaunan yang semakin serius hari ini.

Nor Yati berkata, kebanyakan modus operandi penipuan perakaunan membabitkan manipulasi prosedur dan proses kewangan serta pengubahan sistem seperti sistem perakaunan dan pengurusan kewangan.

“Selain mengambil tindakan agresif berdasarkan laporan daripada pihak ketiga dan sumber lain, jabatan ini turut mengamalkan pendekatan proaktif dengan memanfaatkan teknologi digital semasa.

“Ini termasuk menganalisis data kewangan untuk mengesan red flags dan anomalies dalam transaksi yang dilihat mencurigakan atau luar biasa,” katanya.

Beliau berkata, JANM menjadikan proses berkenaan sebahagian daripada proses kerja standard di jabatan itu di seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Nor Yati berkata, landskap baharu yang semakin mencabar dan kompleks susulan perkembangan teknologi dan sosio ekonomi di peringkat nasional dan global memerlukan pembabitan semua agensi awam setiap peringkat.

“Perkara ini boleh direalisasikan dengan menggalakkan kolaborasi dan perkongsian amalan terbaik dalam agensi sektor awam dan swasta bagi memperkukuh dan menambah baik dasar, peraturan dan metodologi dalam pencegahan fraud.

“Kerajaan Madani yang menekankan prinsip tatakelola dan integriti akan dapat meraih manfaat besar daripada pelaksanaan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan ini,” katanya.

Beliau berkata, JANM memberikan komitmen penuh dalam menyokong dan membantu kumpulan kerja berkenaan mencapai objektif yang digariskan.

“Kami percaya bahawa melalui sinergi strategik ini, usaha membanteras fraud dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan menyeluruh,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat