Langkawi – Ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak mengeluarkan komen keterlaluan sehingga boleh mencetuskan perpecahan ketika menghadapi pemilihan parti, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laporan Harian Metro, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata semua pihak perlu sedar bahawa calon-calon yang bertanding khususnya bagi jawatan tertinggi merupakan tokoh yang telah banyak berjasa dan berkorban untuk parti sejak sekian lama.
“Saya beri sokongan kepada semua calon yang bertanding kerana semua mereka layak, tetapi jawatan yang ada adalah terhad. Maka ahli kena buat pilihan.
“Namun begitu, jika seseorang calon tidak dipilih, janganlah kita jatuhkan martabat mereka dengan kata-kata kesat. Itu bukan cara kita. Ini soal adab dan akhlak dalam perjuangan,” katanya ketika berucap merasmikan Pejabat PKR Langkawi, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa persaingan dalam pemilihan parti, termasuk bagi jawatan Timbalan dan Naib Presiden, serta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, melibatkan sahabat-sahabat lama yang setia dengan perjuangan.
“Saya tengok senarai calon Naib Presiden, ramai yang cukup layak. Kalau saya ada dua tempat untuk Timbalan Presiden, dua-dua saya sokong. Kalau ada 11 tempat Naib Presiden, semua saya sokong,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli baru agar tidak mudah melupakan jasa pimpinan lama yang pernah berjuang sejak awal penubuhan PKR.
“Sebahagian besar mereka ini adalah pejuang asal. Jadi jangan kita tambah ketegangan atau tingkatkan suhu dalam parti. Kalau ada perbezaan pendapat, selesaikan dengan ihsan dan kasih sayang.
“Berbeza pandangan itu biasa, tapi jangan sampai kita bermusuhan,” katanya lagi.
Menurut Anwar, PKR dibina atas asas prinsip dan nilai akhlak yang tinggi, dan parti akan terus kukuh jika semua pihak memelihara adab dalam berpolitik.
“Kadang-kadang ada yang terlanjur hingga lupa bahawa asas parti ini ialah soal nilai. Kalau kita sedar hakikat ini, soal akhlak mesti jadi keutamaan.
“Jangan kerana kita tak setuju, kita bermusuhan secara melampau. Kena ada ihsan. Kena fikir derita dan susah orang lain juga. Barulah kita boleh jadi parti yang adil dan pemimpin yang berjiwa rakyat,” katanya