KUALA LUMPUR: Ellie Suriaty Omar kecewa dengan tindakan pengarah, U-Wei Shaari mengaitkan namanya dalam isu kegagalan mendapatkan Dana Filem Kenegaraan seperti terkandung dalam surat pengarah filem Hanyut itu yang tular, kelmarin.
Ellie berkata, tindakan itu bukan sahaja mencalarkan namanya apabila dilihat menjadi dalang memecah-belahkan penggiat industri filem, malah dianggap cubaan mensabotaj badan seni yang baru ditubuhkan.
“Kenapa perlu kaitkan nama saya dalam polemik ini sedangkan saya bukanlah panel yang bertanggungjawab membuat pemilihan.

“Jika dia tak puas hati dengan Ahmad Idham, adalah lebih baik bertemu sendiri dengannya untuk mendapatkan penjelasan,” katanya kepada BH Online.
Ellie mengulas tindakan U-Wei, 67, yang mempersoalkan mengapa filem kenegaraan Wangi Jadi Saksi yang dibentangkan bagi tujuan ‘pitching’ dana filem kenegaraan tidak diluluskan FINAS.
Melalui surat itu, U-Wei menuntut penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berhubung perkara itu.
Ellie mengaku bertemu U-Wei untuk berbincang mengenai hasrat melantik pengarah prolifik itu sebagai pemimpin sebuah persatuan di mana dia menjadi Setiausaha Kehormat badan berkenaan.
“Kami akur dengan keputusannya menolak tawaran itu. Mungkin dia ada alasan tersendiri tidak menerimanya.
“Namun, untuk mengaitkan perkara itu dengan kegagalan mendapatkan Dana Filem Kenegaraan adalah kesilapan besar,” katanya.
Ellie mendakwa dirinya menjadi mangsa maki hamun penggiat industri melalui aplikasi WhatsApp berikutan isu berkenaan.
“Apabila dakwaan itu dibuat, secara tidak langsung perbuatan itu mencalarkan reputasi saya hingga ada dalam kalangan penggiat seni kreatif memaki hamun di WhatsApp tanpa sebab.
“Saya rasakan tindakannya itu sebagai cubaan untuk sabotaj persatuan yang dalam peringkat awal penubuhannya,” katanya.
Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Spinning Gasing ini menambah, U-Wei seharusnya bermuhasabah bukannya menuding jari kepada mana-mana pihak selepas kegagalan mendapatkan Dana Filem Kenegaraan.
“Saya hormati U-Wei kerana beliau sutradara yang bukan sahaja berilmu, malah banyak menghasilkan filem berkualiti.
“Malah beliau mempunyai jaringan rangkaian yang bagus dengan industri perfileman luar negara.
“Namun, untuk menuding jari apabila permohonannya ditolak, itu bukanlah tindakan bijak.
“Beliau sepatutnya merenung sejarah pembikinan filemnya yang terdahulu. Kadang-kadang rekod seseorang itu menjadi kayu pengukur untuk diberi dana.
“Lagipun, bukan FINAS tidak pernah membantunya langsung. Sebelum ini, dia pernah mendapat bantuan dana FINAS untuk filem arahannya, Hanyut.
“Apabila saya dikaitkan dengan polemik ini, sudah tentu saya kecewa,” katanya.
Ellie berkata, dia bukanlah salah seorang anggota panel menilai permohonan untuk mendapatkan Dana Filem Kenegaraan.
“Kalau betul U-Wei merasakan saya adalah dalang di sebalik kejadian yang menimpanya, minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat saya.
“Saya sedia untuk memberikan kerjasama,” katanya.
Berita Harian