PULAU PINANG, — Dalam usaha memperkukuh kapasiti digital golongan rentan dalam kalangan belia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Microsoft Malaysia serta rakan strategik Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan program MCMC-Microsoft AI TEACH yang menyasarkan seramai 150 pelajar daripada inisiatif Siswa Sulung di USM.
Siswa Sulung merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dibangunkan khas bagi menyokong pelajar generasi pertama dalam keluarga berpendapatan rendah (B40) melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Matlamat utama program ini adalah untuk memutuskan rantaian kemiskinan melalui kuasa pendidikan dan pembangunan kemahiran masa hadapan.
Pemilihan pelajar dibuat secara teliti berdasarkan beberapa kriteria termasuk pendapatan isi rumah dalam kategori B40, latar belakang sosioekonomi, serta tahap kemampuan pemilikan aset oleh ibu bapa atau penjaga.
Program AI TEACH ini menawarkan modul Pengajian dan Persijilan (P&P) dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), yang dirangka khas untuk meningkatkan literasi serta kemahiran praktikal berkaitan AI dalam kalangan mahasiswa. Antara topik yang diketengahkan termasuk pengenalan kepada AI, AI generatif, penggunaan AI untuk peningkatan kebolehpasaran diri, dan penerapan etika dalam penggunaan teknologi AI.
Melalui pendekatan holistik ini, peserta dibimbing menjadi graduan yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga berdaya saing dan bersedia menyertai tenaga kerja dalam era ekonomi digital yang kian mencabar.
Majlis pelancaran program yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa, Kompleks Cahaya Siswa USM itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab. Turut hadir Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Industri MCMC, Tuan Haji Muhammad Razali Anuar; Pengarah Negeri MCMC Pulau Pinang, Encik Mohd Fitri Hashim; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Encik Shukeri A. Rahaman; Pegawai Tadbir PERKESO Georgetown, Cik Nurul Atikah Samelan; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Biji-biji Initiative, Encik Rashvin Pal Singh.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dan Microsoft Malaysia untuk membina ekosistem pembelajaran digital yang inklusif, sekali gus menyokong agenda nasional dalam merapatkan jurang digital. Ia juga memberi peluang kepada setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, untuk menyertai dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan AI dan teknologi masa depan.-SuaraTV