Rossa bakal kembali ke Malaysia dengan konsert mega “Here I Am”

- Advertisement -

Sebagai seorang penyanyi yang telah bertapak hampir tiga dekad dalam industri muzik, Dato’ Sri Rossa bukan sekadar mencipta lagu, tetapi juga membina kenangan bersama peminatnya. Tahun ini, beliau kembali dengan konsert berskala besar bertajuk “Here I Am”, yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.

Konsert ini bukan sekadar meraikan perjalanan seninya, tetapi juga menjadi refleksi kepada ketabahan, keutuhan, dan keikhlasan beliau dalam berkarya. Menurut Rossa, “Here I Am bukan hanya tentang saya sebagai penyanyi, tetapi juga tentang perjalanan hidup saya yang penuh warna. Saya ingin mengajak peminat untuk menerima dan mencintai diri mereka sendiri, seperti mana saya belajar untuk menerima setiap fasa dalam hidup saya.”

Sempena kehadirannya di Malaysia, Rossa turut meluangkan masa untuk berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim dalam satu acara khas, Iftar Bersama Dato’ Sri Rossa, di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. Dalam majlis penuh bermakna ini, beliau bersama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) telah menyampaikan duit raya, pakaian, serta barangan keperluan harian kepada anak-anak dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras.

Sebagai seorang penyanyi yang menghargai bakat seni serumpun, Rossa tidak keseorangan di pentas. Konsert ini akan turut menampilkan barisan artis hebat dari Indonesia dan Malaysia, termasuk Ariel Noah, Ernie Zakri, dan MK K-Clique.

Menyentuh mengenai gandingan bersama Ernie dan MK, Rossa meluahkan keterujaannya kerana ini merupakan kali pertama mereka bakal berkolaborasi. “Saya belum pernah bekerjasama dengan Ernie dan MK sebelum ini, jadi saya sangat menantikan momen ini. Ia membuktikan bahawa muzik tidak mempunyai batasan, malah menyatukan kita dalam satu pentas yang sama.”

Dengan tempoh persembahan selama hampir tiga jam, konsert ini akan membawa pengalaman audio dan visual yang memukau, menggunakan teknologi pencahayaan dan efek khas terkini. Rossa turut memberi bayangan bahawa peminat akan disajikan dengan beberapa kejutan istimewa yang belum pernah dilakukan dalam konsertnya sebelum ini.

Dalam kesibukan membuat persiapan untuk konsertnya, Rossa tetap tidak melupakan tradisi menyambut Aidilfitri. Walaupun sibuk, beliau tetap mencari masa untuk pulang ke kampung dan menikmati suasana Hari Raya.

“Setiap tahun, saya pasti akan balik ke kampung, walaupun hanya beberapa hari. Makanan wajib yang tidak boleh dilepaskan mestilah lontong dan opor ayam!” katanya sambil ketawa.

Selain menyambut Raya bersama keluarga, Rossa juga mempunyai hubungan erat dengan rakan-rakan artis Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain. Hubungan akrab ini jelas menunjukkan bagaimana muzik boleh menjadi medium penyatuan antara artis dari dua negara.

Lebih daripada sekadar hiburan, konsert “Here I Am” juga mempunyai misi kebajikan. Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin untuk membantu pendidikan kanak-kanak serta menyokong inisiatif hijau di Indonesia.

Menurut Rossa, “Saya percaya bahawa muzik boleh menjadi lebih daripada sekadar hiburan. Saya ingin menjadikannya sebagai platform untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama dalam bidang pendidikan.”

Di Indonesia, sebahagian daripada dana yang dikumpul akan digunakan untuk membangunkan teknologi hijau, termasuk sistem kitar semula plastik untuk tenaga elektrik yang lebih mesra alam.

Dengan konsep yang lebih besar, moden, dan unik, konsert “Here I Am” dijangka menjadi salah satu persembahan paling epik dalam karier Rossa. Tiket kini boleh didapati di www.ticket2u.com dengan harga bermula dari RM228 hingga RM788, untuk tiket korporat dan kategori eksklusif, pembeli boleh berhubung terus dengan Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel [email protected].

Selain Malaysia, konsert ini juga akan diadakan di Indonesia Arena, Jakarta pada 23 Mei 2025 dan Singapura pada penghujung tahun.

Bagi peminat setia Rossa, ini adalah peluang keemasan untuk menyaksikan perjalanan seni seorang legenda muzik yang terus utuh di persada industri. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini!

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat