Imigresen Perjelas Isu Sukar Perbaharui Passport

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) hari ini memaklumkan bahawa kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Singapura hari ini berpunca daripada gangguan sistem serta kerosakan pada salah satu mesin pencetak pasport, selain jumlah permohonan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang meningkat secara mendadak.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kesesakan juga disebabkan pemohon yang datang secara ‘walk-in’ tanpa membuat janji temu melalui Sistem Temujanji Online (STO), selain pintu sempadan yang masih ditutup, mengakibatkan rakyat Malaysia sukar memperbaharui pasport mereka di Johor Bahru atau cawangan JIM lain seperti kebiasaan.

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Luar Singapura bagi membenarkan kakitangan syarikat Datasonic Berhad memasuki negara itu untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Rakyat Malaysia di Singapura dinasihatkan memperbaharui pasport mereka secara online dan permohonan akan diproses serta dicetak dalam masa empat hingga lima minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keutamaan urusan memperbarui pasport diberikan kepada rakyat Malaysia yang perlu melanjutkan permit kerja mereka dalam masa terdekat.

Khairul Dzaimee berkata faktor pelaksanaan kuarantin wajib di Malaysia selama 10 hari dan Singapura selama 14 hari turut menyukarkan rakyat negara ini memperbaharui pasport mereka di cawangan JIM.

“Kebiasaannya, pejabat JIM di Singapura mampu memproses 100 permohonan pembaharuan pasport sehari, namun sepanjang tempoh pandemik COVID-19, proses permohonan ditingkatkan sehingga 350 permohonan sehari.

“Sepanjang minggu ini, permohonan pembaharuan secara online telah meningkat daripada 200 sehari kepada 450 sehari, dengan kebanyakan pemohon datang tanpa membuat janji temu melalui STO,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat