Drama ‘Dendam Seorang Madu’ bongkar isu faraid dan pengurusan harta pusaka yang sering diabaikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, – Dalam dunia hiburan yang sering menyajikan kisah percintaan dan konflik keluarga, Astro mengambil pendekatan yang lebih bermakna dengan menerbitkan drama baharu berjudul Dendam Seorang Madu. Berbeza dengan naskhah drama konvensional, siri ini membawa fokus kepada isu pengurusan harta pusaka dan faraid yang sering menjadi punca perbalahan dalam kalangan waris.

Drama yang bakal menemui penonton di slot Tiara Astro Prima (saluran 105) bermula 3 Mac 2025 ini bukan sekadar sebuah kisah konflik rumah tangga biasa. Sebaliknya, ia menyentuh satu realiti yang sering diabaikan dalam masyarakat – kegagalan merancang dan menguruskan harta peninggalan. Dalam banyak kes, perebutan harta pusaka boleh menyebabkan persengketaan dalam keluarga sehingga memecahbelahkan hubungan darah.

Menurut Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh, drama ini bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi membawa mesej besar kepada masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta pusaka. “Kami mahu menyampaikan realiti bahawa pengurusan faraid bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menyebabkan huru-hara dalam keluarga dan menjejaskan keharmonian. Dendam Seorang Madu diharap dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan membuat perancangan yang teliti dalam urusan harta,” katanya.

Dalam drama ini, penonton akan menyaksikan bagaimana komplot dan perebutan harta berlaku di antara watak-watak utama, terutamanya dalam perebutan harta peninggalan yang sepatutnya diagihkan secara adil mengikut syariat Islam. Putri Rayhana (lakonan Hannah Delisha) menjadi mangsa permainan tamak ibu mentuanya, Hanum (Emelda Rosemila), yang cuba menguasai harta yang sepatutnya diwarisi oleh Rayhana.

Selain aspek pengurusan harta, drama ini turut mengupas realiti kehidupan berpoligami yang sering kali diselubungi rahsia dan pengkhianatan. Watak Faris Alfian (Redza Rosli), yang dipaksa berkahwin demi kepentingan perniagaan keluarga, menggambarkan bagaimana perkahwinan yang tidak berlandaskan keikhlasan sering berakhir dengan penderitaan. Kehadiran Izara (Sweet Qismina) sebagai isteri kedua yang dinikahi secara rahsia menambahkan lagi konflik yang membawa kepada pendedahan helah sebenar di sebalik perkahwinan ini.

Dengan arahan Riza Baharuddin, pengarah yang pernah membawa kejayaan kepada drama Andai Tiada Dia, Dendam Seorang Madu dijangka bakal menjadi satu lagi fenomena dalam dunia drama Melayu. Selain membawa naratif yang mendalam, drama ini turut menampilkan runut bunyi yang menyentuh emosi bertajuk Tipu Helah, nyanyian Hannah Delisha.

Persoalan tentang hak waris, keadilan dalam pengurusan faraid, serta kepentingan perancangan harta yang baik adalah isu yang sering diketepikan dalam masyarakat. Dengan penyampaian yang dramatik dan penuh emosi, Dendam Seorang Madu bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga berperanan sebagai satu refleksi kepada penonton untuk lebih peka terhadap hak mereka dalam hal pengurusan harta pusaka.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Dendam Seorang Madu di Astro Prima (saluran 105), setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang mulai 3 Mac 2025. Ia juga boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, aplikasi Astro GO dan sooka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat