Institusi penjara diperkukuh secara holistik – Komisioner Penjara Ahmad Faudzi

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KAJANG – SOAL keselamatan di 43 buah institusi penjara di seluruh Malaysia yang menempatkan 82,000 banduan (setakat 14 Februari lalu ) tidak boleh diambil mudah, enteng dan remeh kerana sedikit kecuaian ianya mungkin mengundang bahaya boleh membawa padah.

Di samping memberi penekanan kepada aspek pemulihan banduan, sememangnya Jabatan Penjara Malaysia (JPM) tidak akan sesekali berkompromi dalam soal keselamatan dan integriti.

Kejadian yang berlaku di luar negara seperti mogok lapar, dahagi, provokasi, pembunuhan, kelarian dan penyeludupan artikel larangan malah pegawai penjara sendiri turut dijadikan tebusan, tidak mustahil akan berlaku seandainya keselamatan diabaikan dan tiada kawalan yang ketat diambil untuk menjaga ketenteraman di dalam penjara.

Justeru itu, bagi mengupas permasalahan keselamatan dalam penjara, Wartawan SUARA TV berpeluang menemuramah Pengarah Bahagian Keselamatan dan Inteligen JPM, Komisioner Penjara (CP) Hj. Ahmad Faudzi Hj. Awang di Ibu Pejabat Penjara (IPPM) , di sini baru-baru ini.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah pada 29 September 1965 ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) 1988.

Menceritakan tentang pengalamannya menyertai JPM pada 1990, beliau menjalani latihan di Maktab Penjara Kajang selama 7 bulan sebelum memulakan kariernya sebagai Timbalan Penguasa Penjara di Unit Dasar & Penyelidikan IPPM, Kajang selama dua tahun.

Atas dorongan Ketua Pengarah Penjara ketika itu, Ahmad Faudzi diarah bertugas di Penjara Alor Setar pada 1992 bagi menimba pengalaman di dalam penjara.

Kemudiannya pada tahun 1994 beliau dinaikan pangkat Penguasa Penjara dan ditukarkan ke Penjara Kajang selama enam bulan dan pada tahun yang sama diarahkan bertukar ke Maktab Penjara Malaysia, Kajang sebagai Timbalan Pengarah selama tiga tahun.

Beliau kemudiannya ditukarkan ke Penjara Alor Setar dengan jawatan yang sama sehingga melanjutkan pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1999 dan mendapat Ijazah Sarjana Sains Pengurusan.

Selepas tamat pengajiannya, beliau bertugas semula sebagai Penguasa Penjara Taiping seterusnya dilantik sebagai Penguasa Kanan di Penjara Alor Setar sebagai pengarah pada 2003.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat Penolong Komisioner Penjara sebagai Pengarah Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi pada 2006 dan ditukarkan ke IPPM pada 2007 dan Pengarah Penjara Pokok Sena pada 2009 sehingga 2011 kemudiannya ditukarkan ke IPPM sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan.

Apabila diwujudkan penstrukturan perjawatan baharu di JPM, beliau dilantik sebagai Pengarah Penjara Kedah pada 2015 dengan menyandang pengkat Timbalan Komisioner Penjara.

Berikutan prestasi cemerlangnya itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Penjara (Commissioner of Prison) Jusa C pada 23 April 2017 dan figura yang berpengalaman luas ini telah diberi mandat dan kepercayaan penuh oleh Komisioner Jeneral Penjara untuk menerajui serta mengendalikan Bahagian Keselamatan dan Inteligen JPM sehingga kini.

Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab besar buat Ahmad Faudzi yang perlu dipikul serta digalas untuk mengurus keselamatan secara profesional dan cekap di 43 buah penjara seluruh negara.

“Pihaknya mahu menjadi lead agensi sebagai peneraju kepada perkhidmatan korektif, semestinya menjalankan proses penahanan yang baik seperti agensi penguatkuasa lain yang berperanan menahan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sekiranya berlaku kesilapan dalam proses penahanan bukan sahaja pihaknya akan dipersalahkan malah secara umumnya pihak kerajaan turut dipertanggungjawabkan, ”katanya.

Menurutnya, Jabatan Penjara perlu berhati-hati bagi memastikan proses penahanan yang dilaksanakan itu sememangnya berlaku betul dan memenuhi kehendak undang-undang itu sendiri

Kita tidak mahu sekiranya berlaku kesilapan pembebasan banduan dan salah penahanan maka pihak yang terlibat boleh mengambil tindakan menuntut ganti rugi dan menyaman kepada pihak kerajaan.

“Ini yang saya lihat tanggungjawab di bahagian keselamatan penuh penelitian tidak boleh mengambil mudah berhubung setiap arahan penahanan yang dikeluarkan oleh mahkamah sebagai pihak berkuasa kompeten.

Pihaknya perlu mengikut amanat ketika menjaga banduan bagi memastikan sepanjang tempoh penahanan itu, mereka perlu dijaga dengan selamat dan terkawal, selain tidak membuat kerenah untuk melarikan diri sehingga tarikh dibebaskan.

Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Penjara bagi memastikan semua perkara yang boleh mengancam keselamatan penjara, malah soal nyawa pegawai dan banduan perlu ditangani, ”katanya.

“Masyarakat menaruh kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada agensi-agensi yang diberi mandat dalam menguruskan perkara-perkara berkaitan penahanan.

Sepertimana Jabatan Penjara diwujudkan untuk mengasingkan serta menahan sekumpulan invididu yang telah melakukan kesalahan melanggar peraturan dan undang-undang negara menyebabkan kehidupan yang dinikmati oleh masyarakat terjejas.

Apabila ditahan di dalam penjara, mereka akan diberi pendidikan sehingga dibebaskan bila tamat hukuman dan kelak berada dalam komuniti sebagai masyarakat yang tidak mengganggu-gugat kesejahteraan masyarakat yang lain.

Bukan sahaja individu ini menjalani proses penghukuman yang boleh menyedarkan dengan diberi pelbagai program pemulihan supaya mereka dapat menghayati dan mematuhi peraturan tatacara yang sepatutnya dilalui sebagai seorang warganegara yang baik, di sinilah peranan Jabatan Penjara, ”katanya lagi.

Menyentuh soal penyeludupan dadah, tembakau dan artikel terlarang lain termasuk telefon bimbit dan wang di dalam penjara Ahmad Faudzi berkata, memang tidak dapat dinafikan berlakunya kejadian itu oleh segelintir mereka yang bertugas didalam penjara termasuklah pegawai penjara sejak dadah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara pada 19 Februari 1983.

“Jika dahulu penyalahgunaan dadah tertumpu pada jenis seperti ganja dan heroin tetapi kini banduan yang di tahan dalam penjara ramai beralih kepada penagihan dadah jenis sintetik seperti Amphetamine (Kuda, WY dan Yaba) serta Methamphetamine ( Syabu, Ice, Sejuk dan Batu). Kira-kira 70% pesalah yang berada di dalam penjara mempunyai latarbelakang penagihan dadah.

Pihaknya tetap memandang kes ini serius kerana berkait dengan integriti.

Apa yang sangat mendukacitakan, mereka telah mengabaikan tugas tanggungjawab dan amanah yang diberikan umpama, ‘harapkan pagar pagar makan padi’

Mereka sanggup menyalahgunakan kuasa sehingga luput sifat amanah dan jatidiri sebagai penjawat awam.

Implikasinya boleh menjejaskan serta mencemarkan malah mencalarkan imej jabatan ini di mata masyarakat.

“Mereka ini ibarat dan layak digelar sebagai ‘Musang Berbulu Ayam’ atau ‘Gunting Dalam Lipatan’ sanggup menggadaikan maruah diri demi kepentingan peribadi mengejar wang ringgit, melakukan perbuatan terkutuk dan durjana dengan menjual dadah kepada penghuni di dalam penjara.

Walaupun jumlahnya kecil tetapi perbuatan yang mereka lakukan itu amat memudaratkan dan kesannya kepada di institusi penjara tersebut dilihat bermasalah. Persepsi masyarakat memberi gambaran negatif dan tidak baik disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga, ”katanya.

Menurutnya, hasil penyiasatan yang di lakukan oleh pihaknya mendapati berdasarkan temuduga yang dijalankan ke atas mereka yang ditangkap dan diambil tindakan.

Mereka ini mempamerkan kehidupan lebih mewah dengan mendapat pendapatan dalam masa yang singkat.

Mereka menerima tawaran yang cukup lumayan dan sukar ditolak dengan membawa artikel larangan contohnya seperti tembakau. Jika di pasaran luar harganya cuma RM 1.50 setepek namun di dalam penjara harganya mencecah mendadak sehingga RM 1,200.

Menurutnya lagi, harga barang larangan yang berlipat kali ganda itu menyebabkan segelintir pegawai penjara tewas, lama-kelamaan ia sudah menjadi biasa. Sekiranya proses pemeriksaan semakin ketat maka harganya meningkat naik.

“Apabila berjaya melepasi pemeriksaan, perangkap akan berlaku seterusnya, mereka akan cuba untuk kali kedua dan selicik-licik musang berbulu ayam ini akan tersilap, rebah kecundang di tangan pihak berkuasa akhirnya.

Individu yang masih bergelumang kegiatan jenayah rentas tembok ini disarankan supaya berhenti melakukannya kerana perbuatan sedemikian lambat-laun akan dihidu juga, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” tegasnya.

Menurutnya, pembabitan pegawai penjara terlibat dengan salah laku ini agak kecil berbanding dengan jumlah kakitangan JPM seramai 16, 811.

Berdasarkan statistik jumlah kes tindakan tatatertib ke atas pegawai penjara pada 2020 sebanyak 13 kes, pada 2021 sebanyak 9 kes, 2022 hanya 5 kes manakala pada 2023 sebanyak 7 kes.

Gejala ini masih di bawah kawalan dan pihaknya telah mengenal pasti mereka yang terlibat dan sentiasa memantau pergerakan. Jika ditangkap akan dikenakan tindakan tatatertib kerana menyeludup artikel larangan ke dalam penjara.

“Mengikut Akta Penjara 1995 (Akta 537) jelas penyeludupan boleh disabitkan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam seksyen ini, ‘artikel larangan’ ertinya apa-apa dadah, wang atau arak dan termasuklah apa-apa alat atau artikel sebagaimana yang ditetapkan oleh Komisioner Jeneral dari semasa ke semasa.

Kita mempunyai beberapa program awalan sebelum dipanjangkan bagi tindakan yang lebih keras dan drastik termasuk tangkapan oleh pihak polis, ditahan di Penjara Simpang Renggam selama 2 tahun mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya ( ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 atau dibuang kerja, ”tegasnya.

Menurutnya lagi, mereka yang dikesan bersekongkol, berkomplot dan bersepakat dengan banduan akan menerima surat pekeliling khusus dan akan dipanggil untuk diberi nasihat oleh pegawai kaunseling.

Selain itu, perjumpaan secara bersemuka melalui program pemutihan dengan memanggil ibu bapa, isteri dan anak bagi memaklumkan keterlibatan pegawai yang terlibat sebagai usaha menyedarkan mereka.

Kebiasaannya program ini membuahkan hasil dan menampakkan keberhasilan serta menimbulkan keinsafan kepada pegawai berkenaan, sedar di atas keterlanjurannya dan kembali kepada ke landasan yang betul.

Namun pihaknya mengakui ada di kalangan kelompok yang bermasalah ini gagal menerima nasihat dan terus mengulangi kembali menyeludup artikel larangan ke dalam penjara.

Sekiranya artikel itu jenis dadah, mereka akan diadukan dan diserahkan kepada pihak berkuasa polis untuk tindakan selanjutnya.

Bagi artikel yang tidak dilarang di luar penjara seperti tembakau dan telefon bimbit pula tindakan akan diambil oleh Ketua Jabatan mengikut keseriusan kes.

Namun tindakan tegas akan dikenakan tindakan turun pangkat atau dibuang kerja bawah peraturan 37 termasuklah penamatan perkhidmatan mengikut Peraturan 49: Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Pada 2023 sebanyak empat pencerobohan kemasukan artikel larangan ke dalam penjara berhasil dirampas melalui dron disyaki perbuatan orang awam atau bekas banduan yang cukup mahir dan mengetahui selok belok dan lokasi strategik dalam penjara.

Bagi menghadapi ancaman ini, pihaknya telah mengorak langkah menggunakan aset yang terbaharu menggunakan alat khas ‘Jammer Gun’ untuk menyekat, menghalang dan mengekang kemasukan artikel larangan ke dalam penjara.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk membawa masuk dadah jenis sintetik yang agak popular melalui rektum (dubur).

Alat pengimbas badan Body Scanner mampu mengesan artikel larangan yang diseludup ke dalam penjara Foto Bhg Keselamatan dan Inteligen JPM

Solusi penyelesaiannya dengan menggunakan alat pengimbas badan ‘Body Scanner’ yang ditempatkan di 14 buah institusi penjara berisiko tinggi.

Melalui alat yang dibekalkan ini memudahkan pegawai penjara melakukan pemeriksaan. Banyak artikel larangan yang diseludup melalui tubuh badan (body cavity) mampu dikesan dengan lebih efektif dan berhasil dirampas, ”katanya.

Menurutnya lagi , menjelang 2025 kesemua 43 buah institusi penjara di seluruh negara akan dilengkapi sepenuhnya dengan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) dan kamera litar tertutup (CCTV) termasuk di 18 buah institusi penjara yang sedang dalam proses dilengkapi sistem ini.

Sistem SKEB ini membantu meningkatkan kecekapan kawalan banduan di seluruh tempat dan di pasang di dalam blok dan dalam parameter penjara, dapat meringankan bebanan tugasan pegawai penjara dengan memantau dari dalam bilik kawalan walaupun berjauhan dari lokasi.

Di samping itu, pihaknya sedang mencari teknologi kecerdasan atau Artificial Intelligence (AI) untuk diserapkan ke dalam setiap operasi JPM seperti pengenalan wajah (Face Recognition) yang boleh membantu mengenal pasti banduan berisiko tinggi dan lain-lain banduan yang perlu diasingkan.

Pihaknya sentiasa komited menjaga keselamatan di seluruh institusi penjara dengan bantuan beberapa unit lain bagi mendepani dan memerangi serta mematahkan aktiviti penyeludupan artikel larangan secara manual antaranya Unit Keselamatan Penjara (UKP) dan Unit Anjing Pengesan K9.

Menurutnya, Unit Keselamatan Penjara (UKP) merupakan satu cabang di bahagian ini yang diwujudkan di setiap institusi penjara dan diberi kuasa mengeledah dan menyoal siasat banduan atau kakitangan penjara yang disyaki terbabit serta mencari punca kemasukan artikel larangan.

Unit ini merupakan entiti sebagai barisan hadapan dalam konteks mengawal keselamatan, pemeriksaan dan pengiringan bagi banduan berisiko tinggi. Mereka dipilih dari segi fizikal berintegriti tinggi dan diberi tugasan yang lebih spesifik.

Katanya, sejak UKP ditubuhkan pada 1989 ekoran peristiwa tebusan di Penjara Pudu pada 17 Oktober 1986 dan di Penjara Kuantan pada 7 Januari 1987, unit ini telah menunjukkan rekod prestasi cemerlang dan berjaya mematahkan banyak percubaan penyeludupan artikel larangan seperti dadah, tembakau dan wang ke dalam penjara.

Mengenai Unit Pengesan (K9) ianya salah satu cabang di bawah Bahagian Keselamatan dan Inteligen telah ditubuhkan pada 2008.

Unit ini memiliki anjing jenis baka German Shepherd dan Belgian Shepherd (Malinois) untuk tugas kawalan manakala baka Labrador dan English Springer Spaniel untuk tugas mengesan. Di samping itu, K9 turut membantu sekiranya berlaku rusuhan.

“Kita juga mempunyai unit elit Trup Tindakan Cepat (TTC) yang diasaskan pada 2005, diiktiraf oleh kerajaan bagi menghadapi sebarang ancaman dan kejadian luar biasa melibatkan banduan akhir, banduan berprofil tinggi dan kumpulan terancang.

Anggota unit elit ini telah mendapat latihan khusus dan intensif yang dikendalikan oleh jurulatih Rejimen Grup Gerak Khas (21 GGK) Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) selain menjalini latihan di Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando PDRM, ”katanya.

Akhbar pada 15 Januari 2019 melaporkan mengenai sindiket penyeludupan dadah yang cuba di bawa masuk ke Penjara Simpang Renggam tumpas setelah pihak polis berjaya merampas 9.88 kilogram syabu, 16.4 kilogram heroin dan 940 biji pil ekstasi bernilai RM814,000.

Mengulas mengenainya Ahmad Faudzi berkata, pihaknya telah menjalankan kerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bagi menumpaskan sindiket ini. Hasil risikan pihaknya mendapati tahanan di dalam penjara itu sentiasa berhubung dengan sindiket dadah di luar penjara melalui keluarga atau telefon yang dibenarkan di dalam penjara.

Katanya, proses saringan perbualan telah dilakukan dan telah mengesan perbualan tahanan dan tindakan susulan oleh pihak polis menjejaki sindiket ini sehinggalah dadah ini berjaya dirampas. Insiden rampasan ini berlaku diluar penjara.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah yang dirampas itu bukan sahaja untuk pasaran luar malah ada usaha untuk dibawa masuk ke dalam Penjara Simpang Renggam.

Mengulas mengenai seorang pegawai penjara yang dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah seberat 325.1 gram kanabis dan 84.97 gram methamphetamine.

“Sememangnya kita tidak berkompromi dengan mana-mana anggota dan keterlibatan pegawai ini telah dikesan dan dihidu sejak sekian lama oleh pihaknya, seterusnya memanjangkannya kepada pihak polis untuk proses tangkapan dan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Mengenai laporan akhbar 5 Mac 2019, lapan orang pegawai penjara telah ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penerimaan wang dianggarkan bernilai RM120,000.

Ahmad Faudzi mengulas, pihaknya telah menjalankan risikan dan siasatan ke atas pegawai terlibat yang menerima wang dari pihak luar termasuk dari keluarga banduan yang mempunyai tujuan membawa masuk artikel larangan. Kes ini telah dilaporkan kepada pihak SPRM.

Namun pihak SPRM kemudiannya telah memulangkan semula kes ini kepada pihak berkuasa penjara untuk tindakan dalaman dan tatatertib.

Pegawai terlibat telah membuat pengakuan di atas perbuatan mereka dan ditukarkan ke institusi penjara lain bagi memberikan kesedaran supaya mereka berubah.
Ahmad Faudzi turut mengulas mengenai cabaran yang dihadapi nya setelah berkhidmat 34 tahun, melihat dalam konteks keselamatan.

Katanya, pada masa ini berlaku perubahan budaya kerja dan wujud sindrom ‘kehilangan sensiviti keselamatan’ dikalangan pegawai rendah dan juga pegawai kanan penjara.

Berlaku perubahan sikap dikalangan pegawai masa kini tidak sepertimana pegawai penjara senior (orang lama) terdahulu, mereka cukup peka dalam soal keselamatan bila bertugas di dalam penjara ketika itu.

“Mereka begitu tegas sehinggakan banduan gerun dan gentar tidak berani melakukan kesalahan yang bertentangan di dalam penjara. Namun lama kelamaan ketegasan tersebut semakin kurang dan merosot.

Walaupun tiada arahan daripada mana-mana pihak yang mengarah untuk dikurangkan ketegasan bertugas, ianya datang dengan sendirinya.

Dahulu, apabila berlaku sesuatu perkara yang menjejaskan keselamatan, tindakan segera diambil.

Sebaliknya , pada hari ini, mereka lebih banyak melihat dan tiada tindakan pembetulan diambil. Ini perlu diperbetulkan dan diperbaiki bagi memastikan soal keselamatan tidak terjejas, ”katanya lagi.

“Cabaran lain, di segi kecanggihan kaedah yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan ketenteraman kepenjaraan terutama untuk membawa masuk artikel larangan kedalam penjara.

Ketika ini di dalam penjara terdapat beberapa kumpulan banduan yang terlibat jenayah terancang dan melakukan jenayah di luar, ” jelasnya.

Jelasnya lagi, kumpulan ini ketika di tahan di dalam penjara boleh mendatangkan ancaman dalaman, justru itu langkah kawalan yang berkesan diperlukan, agar rangkaian aktiviti berkumpulan mereka tidak mengancam keselamatan penjara amnya dan pegawai penjara khususnya.

Selain dari itu penglibatan orang awam yang menceroboh masuk melalui peralatan seperti dron serta pegawai penjara yang diletakkan dalam kelompok kambing hitam atau gunting dalam lipatan, merupakan cabaran yang perlu ditangani dan sentiasa tiada penghujungnya.

Menurutnya, pada masa kini proses penahanan dilihat menjadi semakin mencabar disebabkan perhatian masyarakat mengenai hak-hak individu seperti banduan yang membuat tuntutan yang melampau walaupun telah diberi rawatan oleh pegawai perubatan yang bertauliah.

“Contohnya, menuntut rawatan awal yang lebih baik di luar sedangkan di dalam penjara sudah mempunyai pegawai perubatan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Prosedur penjara jelas, setelah mendapat pengesahan dari pegawai perubatan baharulah mereka dibenarkan mendapatkan rawatan lanjut di hospital luar.

Sememangnya mereka sedia maklum dan memahami prosedur yang ada tetapi tetap membuat aduan atau tuntutan seolah-olah soal kebajikan kesihatan mereka diabaikan, ”ujarnya.

Mengulas mengenai pencapaian di peringkat operasi pelaksana di institusi penjara, pihaknya berjaya mengekang serta menyekat artikel larangan masuk ke dalam penjara yang menunjukkan prestasi memberangsangkan mencapai lebih 70 peratus pada tahun 2023.

“Harus diingatkan, usaha ini dibuat kebanyakanya melalui pendekatan konvesional dan manual kerana kebanyakan institusi penjara tiada mesin pengimbas badan, ”jelasnya.

Selain itu pihaknya berhasil memperolehi aset baharu untuk 18 buah institusi penjara yang dinaikkan taraf dengan kelengkapan sistem keselamatan SKEB.

“Alhamdulillah, sepanjang tahun 2023 tiada kejadian luar biasa yang besar berlaku kerana pihaknya telah meletakkan dan menggunakan atau petunjuk atau indikator untuk memastikan tahap keselamatan di institusi penjara sentiasa dalam kawalan yang selamat serta tidak berlaku sebarang insiden di samping berjaya menyekat kemasukan artikel larangan.

Ianya merupakan kejayaan proses tindakan keselamatan secara menyeluruh.”katanya.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa sudah semestinya akan ada cubaan yang akan berlaku.

Ancaman dari anasir yang iri hati akan sentiasa melihat ruang dan peluang. Oleh itu pegawai penjara dinasihatkan supaya peka dan memberi tumpuan semasa bertugas agar tiada kejadian tidak diingini berlaku, ”katanya lagi.

Menceritakan pengalamannya yang sukar lupakan apabila berdepan dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada Februari 2013.

Menurutnya, walaupun tidak terlibat secara langsung dilapangan, beberapa institusi penjara di Sabah begitu kritikal dan terjejas teruk berdepan dan mengalami kekurangan kakitangan yang diperlukan. Mereka terpaksa bertugas melebihi masa sepatutnya dan tiada kemampuan untuk pertukaran shift.

Keputusan pengurusan tertinggi Jabatan Penjara telah memutuskan, ada perkara dan tindakan yang perlu disumbangkan bagi membantu institusi penjara di Sabah dan terpaksa memilih pegawai penjara dari Semenanjung bertugas di sana.

Menurutnya lagi, institusi penjara di Sabah ketika itu juga ada menempatkan tahanan berbangsa Suluk yang melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong, selain itu juga terdapat kakitangan yang berketurunan Sulu.

Oleh itu, pihaknya perlu berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang sentimen perkauman didalam penjara.

“Pihaknya sentiasa berhati-hati dan berwaspada sekiranya berlaku ancaman dari dalam dan luar penjara ketika itu. Alhamdulillah situasi ini berhasil tuntas ditangani secara baik, ”katanya.

Menceritakan pengalaman pahitnya ketika gelombang besar penularan wabak koronavirus (Covid-19), turut melanda di seluruh institusi penjara pada 2020 menyebabkan ramai kakitangan dan pegawai penjara tidak boleh bergerak keluar dan masuk tambahan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika itu. Banyak perkara yang berlaku di luar tugas normal seharian.

“Setiap hari berlaku peningkatan kes positif jangkitan COVID-19 secara drastik menyebabkan operasi penjara terjejas teruk dan memberi tekanan bukan sahaja kepada pihak pengurusan malah pegawai penjara yang bertugas di dalam penjara,” katanya.

Antara pencapaian kerjaya Ahmad Faudzi di JPM, menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1997, 2012, 2021), Pingat Kedaulatan Negara (2014), Darjah Bintang Setia DiRaja Kedah (2011), Pingat Bakti Setia (2011), Pingat Perkhidmatan Setia (2009), Pingat Pekerti Penjara (2007), Pingat Ahli Mahkota Kedah (2005), Pingat Ketua Pengarah Penjara (2002) dan Pingat Perkhidmatan Am (2001).

Pesanannya kepada warga JPM agar sentiasa bergerak seiring, berganding bahu dalam mengamalkan tugas dengan amanah, kental, dedikasi selain sentiasa berintegriti tinggi dan berkredibiliti bagi mendepani sebarang ancaman serta memastikan keselamatan dan ketenteraman dalam penjara sentiasa terpelihara.

Beliau menekankan supaya pegawai penjara yang bertugas di bahagian operasi memainkan tanggungjawab sebagai nadi dan benteng keselamatan penjara. Merekalah yang akan mencorak ketahanan dan kekukuhan sesebuah institusi penjara. Saya penuh yakin sekiranya aset manusia ini berfungsi dengan baik dan berkesan, kita mampu menghadapi apa jua cabaran dan ancaman.

Mengakhiri temuramah Ahmad Faudzi berkata, insya -Allah berbekalkan pengalaman dan kepercayaan diberikan, saya akan meneruskan perancangan bagi memperkasakan lagi sistem keselamatan di institusi penjara dan kekal komited memikul amanah bagi membantu Komisioner Jeneral Penjara bagi memacu reputasi jabatan ini dengan lebih cemerlang sebagai peneraju koreksional terbaik di dunia. – SUARA. TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat