KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak industri perbankan negara untuk kekal berdaya saing menangani keserentakan fenomena tiga C (complexity, chaos, and contradictions; atau kerumitan, kehuru-haraan dan percanggahan) di zaman pasca-normal dewasa ini.
Kata beliau, ini memandangkan industri kewangan memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi negara, bank-bank perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan dengan tiga C ini — dan lebih penting, untuk ada sifat manusiawi serta ihsan agar dengan melindungi rakyat daripada peredaran deras dibawa oleh tiga C.
Anwar telah mengingatkan bank-bank bahawa mereka perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi diketengahkan dalam Ekonomi MADANI.
“Kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada majlis peluncuran Program Memperkasakan Rakyat myimpact SME Hub anjuran Malayan Banking Bhd (Maybank), pada Isnin.
Justeru, Anwar berkata kerangka ini menumpu kepada tiga industri untuk menangkat darjat negara.
“Ini melibatkan peralihan tenaga; keterjaminan makanan dan transformasi perindustrian dan pembuatan.
“Namun, bagi memastikan kesaksamaan kekayaan dapat ditegakkan, Ekonomi MADANI menekankan keperluan membawa sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menurut serta dalam industri-industri tersebut,” ujarnya.