Zahid cakap tak fikir panjang memalukan BN, jadi bahan ketawa – Naib Presiden MCA

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa wujud ‘Pasukan B dalam DAP’ sebelum menarik balik dakwaan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan memalukan kepimpinan gabungan berkenaan.

Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng berkata, tindakan bercakap tanpa berfikir panjang dan kemudian bercanggah dengan kenyataan sendiri jelas mencalar kredibiliti BN yang dibina sejak sekian lama.

“Sebagai Pengerusi BN, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara semberono.

“Kemudian menarik baliknya secara tergesa-gesa. Ini bukan sahaja mengelirukan malah menghina kredibiliti politik BN,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Teik Cheng menegaskan, kegagalan Zahid menilai dan memperbetulkan gaya kepimpinannya hanya akan mempercepatkan kehilangan sokongan rakyat terhadap BN.

“Jika pendekatan kepimpinan seperti ini berterusan, usaha kononnya untuk ‘menghidupkan semula BN’ akan kekal sebagai retorik kosong tanpa keyakinan rakyat,” kata beliau.

Menurut Teik Cheng, rakyat mengharapkan kepimpinan yang berprinsip, konsisten dan bertanggungjawab bukan pemimpin yang sering berubah pendirian dan mencetuskan kontroversi.

“Tindak-tanduk Pengerusi BN ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan ahli gabungan, malah menjadikan beliau liabiliti terbesar kepada BN,” katanya.

Beliau turut mengingatkan setiap kenyataan Pengerusi BN membawa imej keseluruhan gabungan bukan sekadar pandangan peribadi atau percaturan politik individu.

“Tingkah laku tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja merosakkan imej BN di dalam negara, malah menjadikan gabungan ini bahan ketawa di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat