Penolong jurutera MBK didakwa terima rasuah

- Advertisement -

KUANTAN – Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didakwa menerima suapan RM2,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

Tertuduh, Mohd Yusrizal Md Ledza, 40, berdepan dua pertuduhan menerima suapan daripada seorang wanita berusia 33 tahun pada 7 dan 23 Mac tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua pertuduhan selesai dibacakan dihadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Yusrizal sebagai penolong jurutera MBK didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita terbabit melalui pemindahan secara atas talian ke akaun miliknya, sedangkan tertuduh menyedari bahawa wanita terbabit mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Temerloh pada 7 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yusrizal didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita sama di tempat sama pada 23 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwaan Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raf’ah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM 10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara keluarga dan mempunyai komitmen tinggi selain hanya seorang bekerja.

Ahmad Zamzani kemudiannya membenarkan Mohd Yusrizal diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Temerloh sebulan sekali, bermula Februari sehinga kes selesai selain menyerahkan passport antarabangsa (jika ada) kepada mahkamah.

Kes disebut semula pada 13 Februari depan.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat