Gabungan ‘Nafas Naga’

- Advertisement -

Gabungan penyanyi pop solo bersama penyanyi rap bukan lagi asing dalam industri muzik tempatan.

Malah, kebanyakan projek gabungan sebegitu kerap mendapat sambutan baik daripada peminat.

Terbaharu, Black dan penyanyi rap, Filsuf tampil mewarnai industri muzik dengan lagu berjudul Nafas Naga, sekali gus hajat lama dinanti melihat gabungan mereka kini jadi nyata.

Menariknya, lagu Nafas Naga ciptaan Filsuf dan lirik bersama Arisz Ab Rahman itu adalah projek lagu khas.

Ia dihasilkan sebagai runut bunyi filem Duan Nago Bogho yang ditayangkan hari ini.

Sebagai pengenalan kepada filem berkenaan, lagu dan muzik video Nafas Naga terbitan Muhammad Zaki dan Filsuf di bawah syarikat rakaman Nova Music dilancarkan terlebih dulu sebagai buah tangan istimewa buat peminat.

Filsuf yang juga dikenali sebagai Daly Ahli Fiqir berkata, dia tidak mengambil masa lama menghasilkan melodi dan lirik lagu berkenaan.

“Apabila penerbit filem menawarkan saya untuk menghasilkan lagu tema atau runut bunyi bagi filem terbitan syarikatnya, idea itu datang secara spontan. Selepas saya membaca jalan cerita filem ini, saya terus mula menulis bahagian korus. Kemudian saya perdengarkan kepada mereka dan mereka menyukainya.

“Namun, mereka minta saya untuk selitkan loghat Kelantan dalam lagu ini memandangkan filem itu berlatarkan kisah makyung yang terkenal di negeri berkenaan. Ketika itu, saya juga dimaklumkan pihak mereka menjemput Black untuk menyanyi bersama dalam lagu ini.

 

TERAP mesej cukup mendalam dalam lagu Nafas Naga.
TERAP mesej cukup mendalam dalam lagu Nafas Naga.

 

“Secara keseluruhan, saya ambil masa dua hari untuk menghasilkan lagu ini. Pendek kata, lagu ini dibuat berdasarkan jalan cerita filem Duan Nago Bogho. Ia bergenre hip-hop dan diselitkan elemen tradisional sedikit,” katanya.

Menurutnya, lagu Nafas Naga adalah kerjasama sulung bersama Black biarpun sudah lama saling mengenali. Filsuf berkata, proses rakaman dibuat secara berasingan di mana dia lakukannya dari Singapura dan Black di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, semuanya okay dan tak ada masalah. Cuma selepas selesai proses rakaman ada beberapa bahagian yang perlu ditukar dan diperbaiki iaitu dari segi sebutan.

“Umum mengetahui, saya dan Black bukan orang Kelantan, jadi sebutan pada bahagian lirik loghat Kelantan itu pada awalnya kurang tepat dan tak kena. Disebabkan itu, kami perlu rakamkan semula bahagian berkenaan,” katanya yang teruja apabila penerbit turut menyukai lagu itu.

Sementara itu, Black berkata, peluang bekerjasama dengan Filsuf sudah lama dinanti dan kesempatan diberikan itu tidak boleh dipersiakan.

“Sebenarnya dari 2011 saya sudah mengenali Filsuf. Malah, masing-masing ada hasrat nak berduet bersama. Jadi, bila dapat peluang bekerjasama, saya berasakan ini adalah masa sesuai untuk duet bersama dalam sebuah projek di mana lagunya hasil ciptaan Filsuf sendiri,” katanya.

Black berkata, proses rakaman yang dijalankan secara berasingan itu sebenarnya agak janggal bagi dirinya.

“Pengalaman merakamkan lagu ini sangat berbeza kerana kami buat rakaman berasingan di tempat masing-masing. Keadaan semasa ketika itu masih tidak mengizinkan untuk bersemuka. Kiranya agak janggal dan susah sedikit.

“Saya terpaksa menggunakan pengalaman sendiri untuk ‘feel’ lagu ini. Kebiasaannya ketika proses rakaman lagu saya, semua komposer akan ada sekali untuk beri panduan rakaman itu, tapi kali ini tidak,” katanya.

Dalam masa sama, Black berkata, lagu Nafas Naga sesuatu yang istimewa buat diri dan kerjayanya.

“Saya bersetuju menerima tawaran merakamkan lagu ini kerana lirik dan melodi berbeza dari genre lagu saya bawa sebelum ini. Lagu ini ada eleman makyung dalam nyanyian saya.

“Untuk lagu ini, saya berharap ia dapat diterima ramai kerana ini adalah lagu duet buat julung kalinya bersama Filsuf. Malah, lirik lagu ini mempunyai maksud yang mendalam dan tersendiri,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat