Ordinan Darurat: Azalina tolak gesaan UMNO agar bersetuju sidang Parlimen diadakan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menolak gesaan UMNO supaya Ahli Parlimen parti itu bersetuju agar persidangan Parlimen diadakan segera berhubung Proklamasi Darurat.

Ahli Parlimen Pengerang yang juga Ketua UMNO bahagian berkenaan, menegaskan beliau tidak bersetuju dengan permintaan partinya itu kerana terdapat isu perundangan yang wajar dan perlu dipertimbangkan.

Katanya, isu yang wajar dan perlu dipertimbangkan, terutama yang membabitkan kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Fasal 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan bahawa persidangan Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka.

“Oleh itu pada hemat saya kebarangkalian Yang di-Pertuan Agong memanggil suatu persidangan Parlimen dalam masa terdekat ini atau membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat terbabit sangatlah tipis.

“Atas sebab yang dinyatakan di atas, maka dengan segala hormatnya saya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu terbabit seperti mana yang diminta Yang Berhormat Pontian melalui surat 18 Januari 2021,” katanya.

Beliau menjawab surat ditandatangani Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan kepada semua Ahli Parlimen UMNO dan BN yang meminta kerjasama mengemukakan persetujuan bagi pelaksanaan Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan sidang Parlimen pada tarikh segera.

Melalui surat jawapan itu yang dilihat BH, Azalina berkata, sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, beliau adalah antara orang yang paling mengutamakan dan berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen.

“Bagaimanapun, terdapat isu perundangan yang wajar dan perlu dipertimbangkan dengan lebih mendalam sebelum saya dapat memberikan persetujuan saya kepada isu terbabit,” katanya.

Katanya, kes mahkamah yang dilaporkan sebelum ini memutuskan bahawa pengisytiharan Proklamasi Darurat atau pemasyhuran ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar sama sekali berdasarkan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Proklamasi Darurat yang disytihar oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini tidak boleh dicabar, Azlina berkata, beliau percaya ada cadangan serta syor alternatif yang boleh diketengahkan kepada baginda.

“Antara syor adalah mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Majlis Khas Parlimen bagi menasihati Tuanku berkenaan hasil pemantauan, penilaian dan perbincangan isu berkaitan hak asasi dan kebebasan rakyat.

“Majlis khas itu dianggotai oleh ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari parti kerajaan serta pembangkang,” katanya.

Katanya, semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada UMNO yang juga ahli dalam Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) masih boleh memainkan peranan aktif supaya aktiviti KRPPM dan JPK masih terus giat dijalan dan diteruskan.

“Sebarang kegusaran dan rintihan yang dialami oleh rakyat di kawasan Parlimen masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat, boleh dibawa ke perhatian menteri-menteri UMNO secara rasmi dan tidak rasmi dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.

Beliau turut memohon supaya wakil UMNO dapat dilantik secepat mungkin dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang bakal ditubuhkan kelak seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa hingga 1 Ogos depan, sudah diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.

Perincian ordinan berkenaan dikeluarkan selepas warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari dikeluarkan oleh Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa minggu lalu.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat