Ismail Sabri Janji Bawa Rintihan Pekedai, Penghantar Makanan Kepada MKN – Asyraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan membawa rintihan pekedai dan penghantar makanan yang mahu supaya operasi restoran dan kedai makan dilanjutkan sehingga jam 10 malam kepada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki memaklumkan jaminan itu diberikan selepas menghubungi menteri tersebut bagi menyampaikan keluhan golongan yang terjejas.

Menurutnya, Ismail Sabri sebenarnya mendengar suara hati rakyat berhubung isu tersebut.

”Insya Allah, YB menteri memberi jaminan bahawa beliau sememangnya mendengar suara hati rakyat yang resah ini dan akan membawanya ke dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara untuk dipertimbang dan diputuskan dengan mengambil kira SOP yang ketat tanpa berkompromi dengan agenda memutuskan rantaian Covid-19 yang makin mengganas,” katanya dalam hantaran di Facebook sambil menzahirkan ucapan terima kasih atas pertimbangan dan perhatian kepada suara rakyat.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai peniaga khususnya yang berniaga makanan serta penghantar makanan mengeluh pendapatannya terjejas apabila premis makanan diarah tutup pada jam 8 malam.

Arahan itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi.

Lantaran itu, ramai dalam kalangan mereka meminta kerajaan memberi pertimbangan, selain pembeli yang bekerja turut tidak berpuas hati kerana sukar membeli selepas waktu itu.

Bagi penghantar makanan, arahan penutupan premis perniagaan menjejaskan ‘poket’ mereka kerana tempahan makanan selalunya banyak bermula jam 8 malam. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat