Banjir Di Kelantan Bertambah Buruk, Jumlah Mangsa Meningkat Mendadak

- Advertisement -

KOTA BHARU – Banjir di Kelantan semakin buruk dengan catatan jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 4,121 melibatkan tujuh daerah pada petang Ahad.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemaskini setakat jam 5.30 petang, mangsa membabitkan 1,223 keluarga.

Seorang penoreh getah, Mariam Seman, 44, menyifatkan banjir kali ini antara terburuk selepas bencana sama pada tahun 2014.

“Tak sempat kemas apa-apa. Air naik sehingga dua meter dan terlalu laju di kawasan rumah.

“Saya hanya sehelai sepinggang pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bersama dua anak dan suami,” katanya ketika ditemui di Kampung Baroh Pial, Pasir Mas, pada Ahad.

Suaminya, penoreh getah, Kamaruzaman Hassan, 51, terpaksa berenang di bahagian bawah rumah dua tingkat itu untuk membawa dia dan anak mereka keluar dari rumah seterusnya menaiki bot pasukan penyelamat.

“Saya dan anak-anak berlindung di tingkat atas rumah. Kami tak pandai berenang dan dibantu suami sambil memakai jaket keselamatan ketika dibawa keluar dari rumah yang tenggelam.

“Kamaruzaman menggunakan tong air berkapasiti 10 liter untuk bantuan berenang kerana arus deras,” katanya.

Mangsa terjejas termasuk 706 kanak-kanak, warga emas (310) dan orang kurang upaya (OKU) (26) yang ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Rantau Panjang membabitkan lima PPS menempatkan mangsa tertinggi berjumlah 1,672 diikuti Tanah Merah 13 PPS (953), Kuala Krai sembilan PPS (576), Machang empat PPS (373), Pasir Puteh tiga PPS (323), Jeli dua PPS (160) dan Pasir Mas dua PPS (64).

Dalam pada itu, setakat jam 5.45 petang Ahad, lima sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Semerak di Jambatan Melor, Kota Bharu dengan bacaan 9.13 meter (m), Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (29.65m) dan Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (35.91m).

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.12m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob (29.06m).

Dalam pada itu, pada hari sama, hujan berterusan melanda daerah seperti di Kota Bharu, Rantau Panjang, Tumpat, Kuala Krai dan Pasir Mas. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat