Tunggu gelora reda, Mat Hasan akan atur pertemuan lepas PRN Sabah, harap MIC tak tinggalkan BN

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya akan cuba mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC mengenai masa depan parti komponen itu dalam gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno yakin pimpinan tertinggi MIC akan membuat pertimbangan sebaik mungkin terhadap resolusi diluluskan perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79 hujung minggu lalu supaya pemimpin mereka memutuskan sama ada keluar BN dan membentuk jajaran baharu bersama Perikatan Nasional (PN) pada masa yang sesuai.

“Saya yakin pimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin, sedalam-dalamnya kerana MIC parti yang bersama-sama dengan Umno dan juga MCA semasa kita memerdekakan tanah air suatu ketika dahulu.

“Hubungan baik antara MIC dan BN amat lama, kita amat rapat, jadi jika ada apa-apa perkara perlu dijelaskan atau salah faham yang perlu dijernihkan, elok kita bawa berunding bersama-sama.

“Ini supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu sahaja kerana persahabatan penting dalam sesebuah keadaan. Kadang-kadang, cakap-cakap itu biasa, tapi sebagai pemimpin tertinggi, saya yakin presiden, timbalan presiden dan pimpinan tertinggi MIC lain mempunyai kewarasan amat baik dan memikirkan sebaik-baiknya keputusan yang bakal mereka ambil,” katanya di Membakut lapor BH di Sabah pada Selasa.

Menteri Luar itu menjelaskan demikian pada sidang media selepas sesi ramah mesra dan sembang santai bersama penduduk Kampung Binsulok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut.

Mohamad menjangkakan perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC dapat diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan berharap parti berkenaan tidak keluar BN.

“Kita akan jumpa (pimpinan tertinggi MIC), saya sendiri akan berusaha untuk jumpa mereka agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan. Laut mana tidak bergelora, kita tunggulah dulu (sebab) laut bergelora, ombak tengah kuat, gelombang tengah besar, kita ‘berlabuh’ dulu di jeti. Kita baiki dulu ‘kapal’ kita, mana yang bocor kita tampal, mana yang tidak betul kita betulkan dan kita akan terus keluar nanti apabila gelora telah reda,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan dilapor membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat