Tuduhan kemerdekaan, maruah negara tergadai angkara ART Malaysia-AS tak betul – Anwar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan sesetengah pihak yang terus-menerus menuduh Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) menggadai maruah serta kebebasan negara.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri Memberi contoh tiga perkara yang disifatkan sensitif bagi AS iaitu membabitkan unsur nadir bumi (REE), semikonduktor dan isu penggunaan nilai mata wang tempatan.

Beliau menjelaskan walaupun tiga perkara itu memerlukan rundingan dengan AS – seperti tertakluk dalam perjanjian – ia tidak menghalang Malaysia untuk meneruskan kerjasama dengan negara lain.

Dalam isu REE sebagai contoh, Perdana Menteri berkata Malaysia tetap meneruskan kerjasama dengan Korea Selatan bagi pembinaan kilang REE magnet super di Kuantan, selain antara Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan China untuk memproses REE.

“Kalau tengok umpamanya rundingan dengan AS soal REE, panik semua. Saya kata, tengok apa yang berlaku, kita teruskan undang-undang itu.

“Rundingan, AS suruh maklumkan, tidak apalah. Saya maklum pada China, kita buat ini dengan AS dan Korea Selatan…. tidak ada percanggahan.

“Sebab itu, dalam membaca undang-undang, kena baca yang lain-lain. Saya setuju tekanan AS itu relatifnya lebih besar, bukan hanya kepada kita tapi satu dunia kerana kita tidak mahu dikenakan tarif yang terlalu tinggi.

“(Tetapi dakwaan) soal kemerdekaan, maruah tergadai, itu tidak betul,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, lapor BH pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) sama ada ART menyebabkan Malaysia kehilangan sebahagian kuasa untuk mengurus dan mempertahankan dasar nilai ringgit mengikut kepentingan nasional sendiri.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata di bawah ART Malaysia bersetuju bahawa syarikat AS di Malaysia tidak boleh mengeksport cip semikonduktor ke China, namun itu tidak menghalang syarikat lain untuk melakukan perkara itu.

“Ada pelaburan dari Jerman atau China untuk hasilkan cip dan eksport ke China. Itu boleh.

“Selain itu, tidak boleh denominasi mata wang tempatan, yang dikatakan sebagai satu rencana untuk sabotaj ekonomi AS, namun bukan maksud kita begitu.

“Bagaimanapun, denominasi mata wang tempatan dalam perdagangan dengan China, Thailand dan Indonesia tetap berjalan dan diteruskan,” katanya.

Mengenai rundingan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Perdana Menteri menjelaskan, Artikel 4 Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memperuntukkan rundingan IMF dengan BNM yang diputuskan sejak sekian lama bagi memberi teguran dan kritikan, namun tidak menjejaskan kedudukan BNM dalam menentukan dasarnya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan walaupun AS memberi amaran mengenai penyertaan negara dunia dalam BRICS, Malaysia belum pernah tidak menghadiri mana-mana sidang yang dianjurkan blok ekonomi itu.

“Jadi, sementara boleh berbeza pendapat dari segi kita tidak perlu terlalu baik atau berdagang dengan AS, (kita terima) itu (sebagai) pandangan tapi tidak wajar untuk menyatakan kita menyerah kepada AS,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat