MH17: Malaysia puas hati keadilan ditegak

- Advertisement -

BERA – Malaysia menyokong keputusan Mahkamah The Hague di Belanda semalam yang mendapati tiga individu bersalah dalam kes menembak jatuh pesawat MH17, lapan tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang telus dan dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang lama dinanti-nantikan.

Menurutnya, Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa ini.

“Keputusan kes jenayah di Belanda ini menjadi satu tanda aras yang penting dalam usaha untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban serta waris mangsa.

“Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mesti berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bandar 32, pada Jumaat.

Tambah Ismail Sabri lagi, kerajaan menzahirkan simpati dan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

Katanya, keputusan mahkamah diharap akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini.

Bernama hari ini melaporkan Mahkamah Daerah The Hague, semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas mereka didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 serta menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

Mereka ialah dua warga Rusia iaitu Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko.

Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata, peluru berpandu Buk Telar dibawa ke Ukraine atas inisiatif Dubinsky, selaku pegawai memerintah dalam Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan juga pegawai memerintah dalam DPR.

MH17 ditembak jatuh peluru berpandu BUK ketika terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Kesemua 298 penumpang serta kru dalam pesawat malang itu, yang terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia, terkorban. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,477FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat