MB Pahang, Exco dan Adun BN, PAS Setuju Potong 10 Peratus Gaji

- Advertisement -

KUANTAN – Menteri Besar bersama 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas bersetuju memotong 10 peratus gaji selama tiga bulan bermula bulan ini untuk disumbangkan dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang.

Pemotongan itu kali kedua dilakukan oleh Menteri Besar Pahang dan 10 Exconya selepas berbuat demikian pada bulan April lalu.

Semasa membentangkan Belanjawan Negeri 2021 kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta semua ADUN termasuk dari pembangkang supaya meneladani tindakannya dan 10 Exco memotong 10 peratus gaji.

Dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, saranan Wan Rosdy itu disambut baik oleh Andansura Rabu (Pas-Beserah) yang menyatakan semua wakil rakyat Pas bersetuju berbuat demikian.

Selepas itu, Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) pula bangkit menyatakan semua ADUN dari parti tersebut juga setuju dengan saranan itu.

Wan Rosdy dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2021 kelmarin berkata, kerajaan negeri sentiasa memikirkan jalan yang terbaik bagi membantu rakyat terutama mereka yang cukup terkesan dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Dari rakyat kita peroleh, kepada rakyat juga kita memberi. Dengan ini, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan lebihan hasil berjumlah RM5 juta kepada Akaun Amanah Bencana Negeri Pahang.

“Ia untuk digunakan bagi tujuan mengekang wabak dan juga membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas keprihatinan semua pihak sama-sama membantu menghadapi saat-saat getir sebegini.

“Ini dibuktikan dengan komitmen caruman yang dibuat secara sukarela oleh 4,589 kakitangan kerajaan megeri melalui pemotongan gaji bermula bulan April sehingga September lalu.

“Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM573,000,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat