MELAKA — Melaka International Halal Festival (MIHF) 2025 mencatat penyertaan luar biasa apabila lebih 400 pempamer dari dalam dan luar negara mengambil bahagian, berbanding hanya 250 pada tahun lalu.
Festival tahunan yang berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh itu turut menyasarkan 100,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM10 juta.
Dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata festival ini merupakan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan MIHF sebagai platform utama memperkukuh ekosistem halal di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“MIHF bukan sekadar medan jualan dan pameran, tetapi juga pemangkin kepada pertumbuhan industri halal yang mampan serta membuka ruang padanan perniagaan yang lebih luas.
“Festival tahun ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan makanan halal, trak makanan (food truck), pameran produk dan servis halal, serta persembahan kebudayaan yang menggambarkan kepelbagaian etnik dan budaya di Malaysia,” katanya.
Turut menjadi tarikan utama ialah khidmat bimbingan persijilan halal secara langsung oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), yang memberikan peluang kepada para usahawan dan pengusaha produk halal mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat secara terus.
Lebih menarik, program ini turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang memberikan sokongan dalam bentuk pameran, seminar serta sesi padanan perniagaan eksklusif yang dijangka memperkukuh jaringan perniagaan halal tempatan dan antarabangsa.
Penganjuran MIHF 2025 ini membuktikan kesungguhan Melaka untuk menjadi hab halal serantau dan destinasi utama pelancongan serta perdagangan produk dan perkhidmatan halal.
Festival masih dibuka kepada orang ramai sehingga 19 Oktober 2025 (Ahad), dan pengunjung dijemput hadir untuk sama-sama merasai kemeriahan serta peluang yang ditawarkan di MIHF 2025.



