KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan menentukan nasib terhadap salah seorang Ahli Parlimennya yang sebelum ini mengisytihar sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun, kekal sebagai pembangkang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.
“Dalam sehari dua (kita akan adakan mesyuarat) selepas itu, kita akan buat (keputusan),” lapor Utusan di lobi Parlimen pada Rabu.
Terdahulu, dilaporkan Bersatu hanya mengambil tindakan drastik dengan memberhentikan keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid sekiranya bertukar kerusi dan duduk di blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Hal ini selepas Iskandar Dzulkarnain dilaporkan menyokong dasar-dasar Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar, namun ingin kekal sebagai pembangkang.
12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dilaporkan mengisytihar sokongannya kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasan diwakilinya.
Tegasnya, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu biarpun keputusan itu bakal menyebabkannya berdepan risiko dikenakan tindakan disiplin oleh parti.
Untuk rekod, Anwar tidak membuat sebarang kenyataan umum meletakkan syarat ahli Parlimen pembangkang yang pada masa ini tidak mendapat peruntukan Persekutuan untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi mereka bagi menyokong dasar kerajaan bagi mendapat peruntukan itu.
Sebaliknya, Anwar dan ahli Parlimen kerajaan yang lain berkali-kali memberitahu ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan yang sama dan memberi jaminan bahawa kerajaan terbuka kepada perbincangan sedemikian.
13 Oktober lalu, PN mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Hamzah berkata, tindakan menakut-nakutkan pemimpin itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.
Jelasnya, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.
Bagaimanapun, SPRM menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain manakala dakwaan pihaknya mengugut ahli Parlimen itu adalah bertujuan mencemarkan nama baik SPRM.