Tak perlu lagi bergelut dengan signal, DJI SDR Transmission 2 bawa pemantauan video Ke tahap baru

Dalam dunia produksi video, kamera yang hebat hanyalah sebahagian daripada cerita. Apabila penggambaran melibatkan banyak kamera, monitor dan kru pada satu-satu masa, sistem transmisi video juga memainkan peranan yang tidak kurang penting.

Sebab itu DJI kini memperkenalkan DJI SDR Transmission 2, sistem transmisi video yang direka untuk memudahkan kerja produksi, terutama bagi mereka yang memerlukan penghantaran video berkualiti tinggi dengan sambungan yang stabil walaupun berada dalam persekitaran yang sibuk.

Dibina berasaskan platform Software Defined Radio atau SDR yang telah dinaik taraf, DJI SDR Transmission 2 hadir dengan beberapa peningkatan dari segi ketahanan terhadap gangguan signal, kualiti imej dan jarak penghantaran.

Paling menarik, setiap unit transceiver boleh bertukar fungsi antara transmitter dan receiver mengikut keperluan. Jadi, kru produksi tidak perlu terlalu memikirkan jumlah transmitter atau receiver yang diperlukan sebelum memulakan penggambaran.

Reka bentuknya juga dibuat dengan mengambil kira keperluan produksi yang banyak bergerak. Unit utama hanya mempunyai berat sekitar 136 gram, menjadikannya lebih mudah dipasang pada pelbagai kamera termasuk cinema camera tanpa menambah beban yang terlalu besar.

Bagi produksi yang menggunakan banyak kamera, DJI SDR Transmission 2 turut menawarkan sokongan multi-camera yang cukup fleksibel. Satu transceiver dalam mod TX boleh disambungkan kepada sehingga lapan transceiver dalam mod RX, dengan setiap satu turut menyokong kawalan jarak jauh.

Ini bermakna pengarah, director of photography, operator kamera dan focus puller boleh mendapatkan akses kepada feed kamera serta fungsi kawalan yang diperlukan tanpa perlu berada di sebelah kamera sepanjang masa.

Untuk produksi berskala lebih besar pula, sehingga lima transmitter dan 40 receiver boleh digunakan secara serentak. Ia membolehkan beberapa feed kamera dikongsi kepada lebih ramai kru tanpa mengorbankan kualiti video.

Namun, apabila semakin banyak peranti digunakan dalam satu lokasi, masalah gangguan signal juga boleh menjadi cabaran.

DJI cuba menangani perkara tersebut melalui sistem Auto Channel 2.01. Teknologi ini membolehkan unit DJI SDR Transmission 2 mengenal pasti antara satu sama lain dan membantu mengurus penggunaan jalur frekuensi secara lebih pintar.

Pengguna juga boleh melihat maklumat imbasan frekuensi dan diagnostik konflik channel dengan lebih tepat. Jika keadaan signal di lokasi berubah, sistem boleh menyesuaikan frekuensi bagi membantu memastikan transmisi video kekal stabil.

Dari segi kualiti, DJI SDR Transmission 2 menyokong DCI 4K sehingga 60fps, 10-bit HDR dan bitrate sehingga 50Mbps menggunakan H.265.

Untuk kerja produksi, spesifikasi ini membolehkan kru melihat lebih banyak perincian dalam rakaman, termasuk peralihan warna yang lebih lancar serta paparan bahagian terang dan gelap yang lebih jelas.

Jarak penghantaran pula boleh mencapai sehingga 4km. Keupayaan ini boleh menjadi berguna untuk penggambaran di lokasi yang luas seperti stadium, kawasan pergunungan atau produksi yang melibatkan penggambaran dari kenderaan ke kenderaan dan FPV drone.

Pada masa sama, latency serendah 35ms membantu memastikan paparan video dan arahan kawalan kekal responsif. Ia penting terutama ketika melakukan kerja seperti focus pulling atau mengawal pergerakan gimbal dari jarak jauh.

Satu lagi ciri yang mungkin membuatkan kru produksi lebih senang ialah fungsi pertukaran feed yang pantas. Jika sebelum ini pengguna perlu melalui proses seperti disconnect, reboot, mencari signal dan pairing semula untuk bertukar antara kamera, DJI SDR Transmission 2 membolehkan feed ditukar dengan lebih mudah terus melalui transceiver atau aplikasi Ronin.

Untuk pemantauan profesional, sistem ini boleh mengeluarkan video melalui SDI, HDMI atau DP. Pengguna juga boleh menyambungkan telefon atau tablet melalui USB-C untuk mendapatkan paparan video berkualiti tinggi secara mudah alih.

Aplikasi DJI Ronin turut menyediakan beberapa fungsi pemantauan yang biasa digunakan dalam produksi profesional seperti LUT, focus peaking, waveform dan false colour.

Bagi kamera yang serasi, pengguna juga boleh melihat serta mengubah tetapan seperti aperture, shutter speed dan ISO melalui aplikasi. Kawalan untuk mencetuskan rakaman foto atau video turut disediakan, manakala kamera yang menyokong CEC boleh menggunakan fungsi virtual menu.

Dari segi kuasa, DJI SDR Transmission 2 menyokong beberapa pilihan supaya lebih mudah disesuaikan dengan setup produksi. Ia boleh menggunakan bateri NP-F dengan bekalan 6.8V hingga 8.4V atau kuasa melalui pengecas USB-C yang menyokong protokol PD.

Bagi pengguna yang sudah menggunakan DJI RS 5, RS 4, RS 4 Pro, RS 3 Pro, Ronin 2 atau Master Wheels, transceiver juga boleh dipasang terus pada peralatan berkenaan dan menggunakan kuasa daripadanya tanpa memerlukan bateri tambahan.

Di Malaysia, DJI SDR Transmission 2 ditawarkan pada harga RM1,329 untuk versi standard, manakala DJI SDR Transmission 2 Combo pula dijual pada harga RM2,349.

Dengan gabungan transmisi DCI 4K/60fps, 10-bit HDR, bitrate sehingga 50Mbps, latency serendah 35ms dan jarak penghantaran sehingga 4km, DJI SDR Transmission 2 dilihat sebagai satu lagi pilihan untuk produksi yang memerlukan sistem transmisi video yang lebih fleksibel.

Bagi kru produksi, perkara paling penting mungkin bukan sekadar angka pada spesifikasi, tetapi bagaimana teknologi ini boleh membantu mereka bekerja dengan lebih lancar. Dengan proses pertukaran feed yang lebih pantas, pengurusan frekuensi yang lebih pintar dan sokongan untuk pelbagai konfigurasi kamera, DJI SDR Transmission 2 cuba menjadikan urusan di set lebih mudah supaya kru boleh memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting menghasilkan rakaman yang terbaik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat