KUALA LUMPUR – Pas melafaz setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas ampun perkenan Baginda memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak.
Hal ini susulan keputusan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda sejumlah RM50 juta.
“Perkembangan ini amatlah bermakna bukan sahaja kepada keluarga Najib, tapi seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengenang dan menghargai jasa serta khidmat bakti beliau sebagai pemimpin yang telah membawa pembangunan kepada negara dan kemakmuran kepada rakyat.
“Pas seterusnya mendoakan agar Najib terus diberikan kesihatan yang baik semasa menjalani baki hukuman terhadapnya di rumah dan yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara,” kata Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.



