KUALA LUMPUR – Manusia mudah lupa ini bukan sahaja tidak mengenang jasa, sebaliknya mengigit tangan mereka yang membantunya dahulu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali gus mengingatkan bahawa dalam era kepimpinan beliau juga PKR pernah menumpang kasih PAS sewaktu bekerjasama memenangi banyak kerusi pilihan raya.
“Ketakutan dan kegelisahan Pakatan Harapan (PH) kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta PAS secara khususnya amat terserlah.
“Perasaan ini menyebabkan Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat satu kenyataan media atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri. Agak janggal apabila Kenyataan Media Kementerian hanya menyemai kebencian terhadap Presiden PAS dan bukan berkaitan keselamatan negara,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan pada Rabu.
Bahkan katanya, kejayaan Hadi bermula dengan menafikan majoriti dua pertiga dan merampas beberapa negeri daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.
“Orang yang paling bertuah merasa sendiri kemenangan dalam pilihan raya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang PAS, parti yang dicerca oleh beliau hari ini.
“Dengan persetujuan Hadi, beliau diberi ruang bertanding dan memenangi Parlimen Machang pada tahun 2008. Diharapkan agar Saifuddin tidak lupa jasa Hadi. Atau mungkin juga Saifuddin perlu diingatkan bila mana Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden PAS dan arwah Nik Aziz memohon agar beliau dibenarkan untuk membantu PKR satu masa dulu.
“Saya berharap agar Saifuddin tidak memadamkan fakta yang disebutkan dan memohon agar beliau tidaklah seperti yang selalu diperkatakan dalam peribahasa melayu ‘seperti melepaskan anjing tersepit’,” tempelaknya.
Justeru kata Tuan Ibrahim, PAS sangat kesal dan berdukacita dengan kenyataan melampau serta tidak beradab ini.
“Hal ini kerana sepanjang Muktamar tiada satu nama pun disebut dan diserang oleh Presiden dalam ucapan beliau. PAS dalam muktamarnya sentiasa memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin dan pendokong reformasi turut memperjuangkannya.
“Saya yakin, kenyataan tidak beradab yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri ini tidak akan terhenti di sini. Kami menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat PRU, semakin mengelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin dan partinya. Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan mereka agar mereka tidak dilihat berbohong,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengingatkan, sejak penubuhan PAS, Hadi adalah sosok yang telah berjaya mengangkat PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) ke tahap tertinggi.
Justeru tegas beliau, ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuklah Saifuddin yang hanya berniat jahat.
“Barangkali Saifuddin harus diingatkan bahawa PAS yang ber-Presidenkan Hadi adalah parti tunggal yang mempunyai wakil Ahli Parlimen (MP) terbanyak di Dewan Rakyat ketika ini. Walaupun Hadi difitnah dengan pelbagai perkara, namun Hadi berjaya membawa bersamanya 42 orang MP berbanding PKR yang mempunyai hanya 31 orang.
“Jika kenyataan itu juga belum memadai untuk membuka mata beliau, bilang berapa negeri yang diperintah oleh PKR berbanding PAS yang mengusai empat buah negeri. Andai benar dakwaan jahat Saifuddin, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong PAS sehingga ke tahap ini, Alhamdulillah.
“Semoga Allah mempercepatkan kerajaan sedia ada hari ini tumbang. Kepada Allah kami berserah,” ucap beliau.