KUALA LUMPUR – Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang disifatkan sebagai mengikat peranan dan fungsi ahli-ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, MoU antara kerajaan dengan pembangkang di Parlimen adalah satu pelanggaran prinsip pengasingan kuasa.
“Sifat mengikat MoU itu akan memandulkan dan membonsaikan peranan ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan parti pembangkang di Parlimen.
“Mereka hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.
“Ahli-ahli parlimen Pembangkang dan gabungan pembangkang yang merupakan kerajaan bayangan atau “Shadow government” terpaksa tutup mulut dalam perkara-perkara penting melibatkan hal rakyat dan negara. Kenapa? Kerana mereka telah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu badan eksekutif,” tegas Hassan.
Hal demikian katanya, MoU yang dikemukakan oleh pihak kerajaan bersifat membelenggu kebebasan ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang.
Hassan memberitahu, cadangan memperkenalkan MoU tersebut pada asasnya adalah satu contoh pencerobohan kuasa Eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang merupakan pihak yang penting di dalam Parlimen.
Kata beliau, cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU tersebut juga boleh dianggap pihak eksekutif iaitu Kerajaan Persekutuan cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Dewan di Parlimen.
Jelas Hassan yang juga pengamal undang-undang, kewujudan MoU antara Kerajaan Persekutuan dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang di satu pihak dan antara Kerajaan Persekutuan dengan gabungan pembangkang di Parlimen adalah bercanggahan dengan amalan demokrasi berparlimen.
“Di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan setiap anggota Parlimen tanpa kecuali dikehendaki mengangkat sumpah. Kandungan sumpah itu antara lainnya ialah setiap anggota Parlimen itu bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia.
“Satu ciri penting Perlembagaan Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan ialah mengamalkan prinsip pengasingan kuasa. Prinsip pengasingan kuasa itu bertujuan untuk memelihara 3 badan utama negara iaitu Parlimen ( Legislative), Kerajaan ( Executive) dan Mahkamah ( Judiciary) masing-masing bebas menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Tetapi MoU tersebut telah mengikat peranan dan fungsi ahli-ahli parlimen pembangkang di Parlimen,” kata beliau dalam kenyataan media.
Menurut Hassan lagi, ahli-ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang atau di pihak bebas apabila mereka telah menandatangani dokumen angkat sumpah mereka di hadapan Yang di Pertua atau Speaker maka mereka terikat dengan sumpah tersebut.
Justeru katanya, tidak perlu menandatangani satu lagi dokumen yang bernama MoU antara kerajaan dan pihak pembangkang.
“Reformasi yang dikehendaki di Parlimen ialah kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang Peruntukan kawasan Parlimen, bahawa setiap kawasan Parlimen di seluruh negara diberi hak secara automatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.
“Setiap ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau di blok pembangkang atau di blok bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil.
“Undang-undang seperti inilah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang bukannya MoU seperti yang dihebohkan kini,” tegas Hassan.