KUALA LUMPUR – Dua anak lelaki Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tan Sri Mokhzani dan Mirzan telah mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengisytiharan harta dua anak bekas Perdana Menteri itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Beliau turut memaklumkan kedua-dua anak Dr Mahathir itu berbuat demikian mengikut tempoh masa diberikan suruhanjaya itu.
“Mereka telah buat pengisytiharan harta kepada kami (SPRM) mengikut masa yang ditetapkan.
“Pihak penyiasatan sedang buat engagement (libat urus) dan penyelarasan dengan peguam mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya, pada Rabu.
Mirzan dan Mokhzani sebelum ini berkata mereka telah diminta agensi anti rasuah itu untuk mengisytiharkan aset dari 1981, iaitu ketika Dr Mahathir mula menjadi Perdana Menteri.
Pada 14 Ogos lalu, SPRM bersetuju untuk memberi lanjutan tempoh kepada Mirzan Mahathir dan abangnya Mokhzani sehingga pertengahan September ini untuk mengisytiharkan harta.
Sekiranya gagal mereka boleh berdepan dengan tindakan undang-undang.
Azam ketika itu berkata ia adalah lanjutan terakhir sebulan yang diberikan kepada mereka.
Pada Mei lalu, Mirzan dan Mokhzani, yang merupakan anak kepada bekas perdana menteri itu diberikan lanjutan masa, yang tempohnya tidak didedahkan.
Sementara itu, Azam berkata perkara yang penting adalah kedua-dua anak Mahathir itu telah mengisytiharkan aset mereka.