KLUANG – Anak sulung bekas Adun Mahkota, Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar mengingatkan Tan Sri Annuar Musa untuk tidak menggunakan elemen simpati terhadap Allahyarhamah ibunya sebagai bahan kempen Perikatan Nasional (PN).
Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar sebaliknya menegaskan, tetap bersama Barisan Nasional (BN). Ini sebagai respons kepada hantaran di Facebook Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya PN, Annuar yang berencana akan menganjurkan majlis tahlil kepada Allahyarhamah Sharifah Azizah yang dijangka pada 24 September ini.
“Bila ni? Saya sebagai anak sulung Datuk Sharifah Azizah Syed Zain tak tahu pun.
“Saya mohon jasa baik tidak gunakan simpati arwah mak saya sebagai bahan kempen.
“Kami tetap bersama Barisan Nasional dan kami sekeluarga menghormati pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” tegasnya.
Dalam pada itu, anak sulung Sharifah Azizah itu mengingatkan pembangkang untuk menjaga sensitiviti keluarga.
“Saya akan meneruskan perjuangan Ummie bersama Umno dan BN.
“Sedih lah mcm ni. Tolong la jaga sensitiviti kami sekeluarga,” katanya.
Sebelum itu, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno memaklumkan mulai 22 Sept giliran turun sekali lagi ke DUN Mahkota,buat kali kedua.
“Kali ini untuk beberapa hari kerana banyak program yg di atur.
“Insya-Allah beberapa siri ceramah dan perjumpaan berkelompok juga sudah diatur bersama Isham Jalil,Tan Sri Noh Omar,Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Insya-Allah majlis tahlil khas buat Allahyarhamah bekas ADUN Mahkota dan maulud akan diadakan pada 24hb Sept dengan kerjasama keluarga Allahyarhamah,” catat Annuar.