Laksana NIMP 2030 dengan lancar demi kemakmuran ekonomi negara – Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar misi-misi yang dirancang dan ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi rakyat dan negara.

Istana Negara, menerusi hantaran di Facebook pada Isnin memaklumkan, bagi tujuan itu, Al-Sultan Abdullah telah menitahkan semua pihak dan agensi berkaitan supaya memberi sokongan padu dan kerjasama bagi memastikan pelan induk untuk memacu transformasi industri pada skala besar itu dilaksanakan dengan lancar serta berkesan.

“Seri Paduka juga mendoakan agar dengan pelaksanaan pelan induk tersebut, Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya maju selain meletakkan negara sebagai kuasa ekonomi serantau,” menurut Istana Negara.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri, Aedreena Reeza Alwi dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri,Ahmad Akmal Muhamad di Istana Negara, pada Isnin.

Pada sesi menghadap bermula jam 3 petang itu, Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat daripada Tengku Zafrul berkenaan NIMP 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1 September lalu.

NIMP 2023 adalah kerangka dasar komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan dalam transformasi sektor perkilangan di negara ini, ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat