KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-42 bersetuju untuk meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau dikenali sebagai PeGTaECRL.
Dokumen ini akan memandu pembangunan di sekitar 20 stesen dan di sepanjang laluan ECRL yang telah dikenal pasti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-42 di Putrajaya hari ini, yang menjadi platform bagi Kerajaan Persekutuan berbincang dengan Kerajaan Negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Mesyuarat ini menyinggung dan mempertimbangkan beberapa perkara, antaranya MPFN bersetuju untuk meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau dikenali sebagai PeGTaECRL. Dokumen ini akan memandu pembangunan di sekitar 20 stesen dan di sepanjang laluan ECRL yang telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, jelas beliau mesyuarat MPFN Ke-42 juga telah bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan EV melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan (GPP EVCB).
Jelas Anwar, ini selari dengan transformasi industri automatif negara ke arah peralihan masa hadapan yang lebih mesra alam dan mampan.
Kata beliau, ketersediaan infastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini.
“MPFN Ke-42 juga telah bersetuju terhadap keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh Agensi Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, dan penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan (RT) untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan,” katanya.