KUALA LUMPUR – Adun Merlimau Datuk Dr Akmal Saleh mengulang pendirian bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (Melaka) sekiranya Barisan Nasional (BN) menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda Umno akui tidak berpuas hati dengan pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap Umno.
“Kata Umno bermuka-muka, kata Umno tikam kawan. Tapi Umno juga yang dicari.
“Saya ulang pendirian saya semasa dalam podcast Keluar Sekejap (KS) iaitu jika BN-PH di Melaka,saya tidak akan bertanding sebab saya lebih rela pertahankan prinsip saya dari sebuah jawatan wakil rakyat
“Insya-Allah Melaka kita birukan seperti Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Akmal berkata demikian, sebagai reaksi kepada kenyataan PH terbuka mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan diputuskan selepas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abd Rauf Yusoh pulang ke tanah air, esok.
“Ab Rauf ini sahabat lama saya dan kami selalu berhubung dan beliau kini dalam lawatan rasmi ke New Zealand. Tarikh beliau pulang ke tanah air termasuk delegasi yang ikut serta pun saya tahu.
“Kami sentiasa berhubung dan berbincang pelbagai perkara, selain akan singgah makan asam pedas Mak Leha di rumah beliau setiap kali saya ke Melaka.
“Oleh kerana PRN Melaka sudah hampir, kemungkinan kita akan bincang juga tajuk berkenaan. Kemungkinanlah, okey,” katanya.



