KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri termasuk pelbagai pihak termasuk agensi serta komuniti, giat memelihara khazanah hutan menerusi usaha penghijauan negara di peringkat tempatan dan kerjasama global.
Menteri NRES Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pada Persidangan Antarabangsa Perhutanan Tropika 2026 (TF2026) berkata, antara komitmen itu adalah Kempen Penanaman 100 juta pokok yang mencatatkan pencapaian signifikan bagi tempoh 2021 hingga 2025 apabila melepasi sasaran kira-kira137 juta pokok ditanam di seluruh negara, dengan Sarawak dan Sabah menjadi penyumbang tertinggi.
“Usaha pembangunan negara yang seiring dengan pemuliharaan alam sekitar menerusi pengurusan hutan, perlindungan biodiversiti, pemulihan ekosistem serta menangani perubahan iklim, kekal menjadi prinsip Malaysia dan tidak pernah dikompromi,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Perhutanan Tropika 2026 (TF2026) yang menghimpunkan kira-kira 200 delegasi dalam kalangan penyelidik, pembuat dasar, agensi kerajaan, industri dan pihak berkepentingan dari Malaysia dan antarabangsa itu menjadi platform bagi membincangkan masa depan perhutanan tropika.
Dalam ucapan perasmiannya pada acara bertemakan ‘Perhutanan Tropika dan Kelestarian untuk Kesejahteraan Masyarakat’ itu, Arthur menegaskan hutan tropika ialah antara aset semula jadi paling bernilai kerana peranannya dalam mengawal iklim, melindungi kawasan tadahan air, memelihara tanah, menyokong mata pencarian dan menyediakan habitat kepada kepelbagaian biologi.
“Kepentingan ini menyaksikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bersama pelbagai pihak termasuk agensi serta komuniti, giat memelihara khazanah hutan menerusi usaha penghijauan negara di peringkat tempatan dan kerjasama global.
“Antara komitmen itu adalah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang mencatatkan pencapaian signifikan bagi tempoh 2021 hingga 2025 apabila melepasi sasaran kira-kira 137 juta pokok ditanam di seluruh negara, dengan Sarawak dan Sabah menjadi penyumbang tertinggi.
“NRES turut memperkukuh perlindungan hutan dan biodiversiti menerusi Dasar Perhutanan Malaysia dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022–2030 yang diselaraskan dengan Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal.
“Ia menyaksikan negara menyasarkan untuk memulihara sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan daratan dan perairan pedalaman menjelang 2030,” katanya.
Menurut Arthur lagi, di peringkat serantau dan antarabangsa, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama serta bergiat aktif dalam bidang perhutanan dan biodiversiti melalui ASEAN, termasuk perkongsian Heart of Borneo, Forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hutan (UNFF), Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
“Dalam memastikan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara, penyelidikan bermutu sangat diperlukan.
“Oleh itu, saya menggalakkan penyelidik dan universiti untuk memastikan penyelidikan berkualiti tinggi bagi menangani cabaran dunia sebenar dengan memperkukuh dasar dan pengurusan.
“Teknologi, termasuk penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (GIS), LiDAR dan kecerdasan buatan (AI), boleh melengkapi kepakaran lapangan serta memperkukuh aspek pemantauan, penguatkuasaan dan proses membuat keputusan.
“Kita juga tidak boleh sesekali mengabaikan kepentingan dan peranan masyarakat. Orang Asal dan Komuniti Tempatan (IPLCs) merupakan penjaga penting landskap hutan,” jelasnya.
Tegas beliau, perhutanan mampan mestilah bersifat inklusif, menghormati pengetahuan tempatan serta memberikan manfaat yang nyata kepada komuniti.
“NRES berharap TF2026 menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara universiti khususnya Universiti Malaysia Sabah (UMS), agensi kerajaan, industri, masyarakat sivil dan institusi penyelidikan antarabangsa,” katanya.



