5,610. 55 tan metrik ikan yu berhasil didaratkan di perairan Malaysia

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah merekodkan 5,610.55 tan metrik ikan yu berhasil di daratkan di perairan Malaysia sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata, Sarawak mencatat jumlah pendaratan tertinggi iaitu sebanyak 2,208.90 tan metrik, diikuti oleh beberapa negeri lain yang turut menyumbang kepada jumlah keseluruhan tersebut.

“Negeri – negeri lain yang turut merekodkan jumlah pendaratan yang signifikan termasuk Perak (994.04 tan metrik), Kelantan (783.99 tan metrik) dan Sabah (545.77 tan metrik).

“Turut mencatatkan pendaratan ialah Pahang (471.35 tan metrik), diikuti oleh Selangor (204.11 tan metrik), Wilayah Persekutuan Labuan (152.41 tan metrik) dan Terengganu (129.35 tan metrik).

“Negeri Sembilan tidak mencatat sebarang pendaratan, manakala Perlis dan Kedah masing-masing merekodkan 0.2 tan metrik dan 1.6 tan metrik, ”katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, statistik yang direkodkan menggambarkan keperluan untuk memperkukuh pemantauan dan pengurusan sumber perikanan secara bersepadu, khususnya dalam memastikan kelangsungan spesies marin yang semakin terancam.

“Bersempena sambutan Hari Kesedaran Ikan Yu Sedunia yang disambut pada 14 Julai lalu, DOF menegaskan komitmennya dalam melindungi spesies ikan yu sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan biodiversiti marin negara, ”katanya lagi.

Ujarnya, sebagai langkah pengurusan sumber secara mampan, lima spesies ikan yu telah diwartakan sebagai spesies yang dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 [Pindaan 2019].

“Sebarang aktiviti penangkapan, pemilikan, penjualan atau pengeksportan spesies ini adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Spesies yang disenaraikan ialah Sphyrna mokarran (Yu Tukul Parang), Sphyrna zygaena (Yu Tukul Rata), Eusphyra blochii (Yu Tukul Parang – varian), Carcharhinus longimanus (Yu Sirip Putih Besar), dan Rhincodon typus (Yu Paus), ”ujarnya lagi.

Tambahnya, spesies-spesies tersebut memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin kerana sifatnya sebagai pemangsa puncak dalam rantaian ekologi.

Kehilangan spesies ini bukan sahaja mengganggu kestabilan biodiversiti tetapi juga boleh memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sumber perikanan negara.

“Semua pihak termasuk nelayan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam diseru agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menyokong usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan oleh kerajaan.

“DOF terus memperkukuh inisiatif pemuliharaan ini melalui pelaksanaan pemantauan berterusan, penguatkuasaan undang-undang, serta kempen kesedaran awam, dengan kerjasama strategik agensi-agensi penguat kuasa, NGO serta komuniti nelayan.

“Segala usaha ini bertujuan memastikan sumber marin negara terus kekal lestari untuk generasi masa hadapan, ”tambahnya lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan spesies dilindungi dan garis panduan pengurusan perikanan lestari boleh diperoleh melalui portal rasmi DOF di www.dof.gov.my.
-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat