KUALA LUMPUR: Bintang utama Prebet Sapu, Amerul Affendi tidak kecewa gagal meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada malam kemuncak, Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2022 di Istana Budaya (IB) di sini, kelmarin.
Sebaliknya, Amerul berbangga dengan kejayaan Arif Shaik dan Asik Shaik, masing-masing berusia 10 tahun, yang menyerlah dalam filem India, Two Friends.
Amerul sudah menjangka bintang utama Two Friends itu akan merangkul anugerah berkenaan, lalu tidak terkejut tewas di tangan bakat cilik.
“Apabila kanak-kanak berlakon, kita tahu kejujuran dan keikhlasan bukan sesuatu yang dibuat-buat. Saya akui pengarah filem Two Friends menjalankan uji bakat yang betul dengan memilih dua pelakon terbabit.
“Jadi, apabila mereka dipilih memasuki senarai lima calon teratas, saya sudah tahu tidak boleh lawan mereka. Bakat semula jadi adalah perkara yang perlu kita hargai.
“Dari zaman saya belajar, pensyarah ada menyatakan jika kanak-kanak berlakon, kejujuran mereka lebih menyerlah berbanding orang dewasa.

“Orang dewasa sudah melalui banyak perkara, jadi mereka boleh menipu di hadapan kamera,” kata graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu.
Namun, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu bangga layak disenaraikan dalam kalangan lima calon terbaik pada acara anugerah bertaraf antarabangsa.
Apatah lagi memikirkan itu kali pertama dirinya tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Sebelum ini, Amerul pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 menerusi filem Terbaik Dari Langit.
“Saya bangga dan bersyukur. Walau hanya dicalonkan, ia sudah memberi makna besar bagi saya. Saya kini dikenali penggiat filem di Asia dan antarabangsa,” katanya.
Amerul turut bangga atas kemenangan penerbit Prebet Sapu yang meraih trofi Lakon Layar Terbaik pada MGGA 2022 hasil kejujuran semua pihak dalam berkarya.
“Itulah hasilnya apabila kita betul-betul berkarya yang mana seseorang penggiat seni jujur dalam menghasilkan karyanya. Malah, kejujuran itu membuatkan hasil karya kita diangkat ke peringkat kita tidak duga,” katanya.