KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kemungkinan potensi Muhammed Yusoff Rawther adalah agen perisik Mossad.
Dakwaan ini susulan Yusoff dikatakan pernah dilaporkan menyatakan sokongan individu berkenaan terhadap rejim zionis dalam surat terbuka pada 2017 di mana Yusoff dengan bangga menyatakan dirinya sebagai “One Malaysian, Standing with Israel”.
Sekretariat Kerjasama NGO Dzul Hilmi Zainol menuntut pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan tuntas sama ada Yusoff Rawther adalah agen kepada Mossad.
“Kami bersama NGO hadir beramai-ramai membuat laporan polis agar menyiasat Yusoff Rawther, adakah sebenarnya dia merupakan agen kepada Israel?
“Adakah Yusoff merupakan agen Mossad yang dengan tegasnya menyatakan sokongan tegas terhadap Israel, padahal negara itu tidak pernah kita iktiraf.
“Sebagai rakyat Malaysia kita berhempas pulas, bermandi air mata ingin menyatakan bahawasanya negara itu (Israel) tidak patut dan tidak harus wujud,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu.
Dzul Hilmi malah menyatakan rasa hairan apabila ada dikalangan pemimpin -pemimpin politik yang berjuang mempertahankan maruah agama dan bangsa sudi menjadi peguam kepada Yusoff yang pernah menyatakan sokongan kepada negara laknatullah Israel.
“Mohon polis siasat adakah Yusoff Rawther ini perkakas kepada negara laknatullah tersebut dan agen kepada negara-negara yang menindas negara Islam,” desak beliau.
Sementara itu, pengamal undang-undang yang juga Ketua Biro Guaman dan Undang-undang AMK Asheeq Ali Sethi Alivi memberitahu desakan kumpulan NGO itu bukanlah bersifat tohmahan.
“Kita bukan buat tohmahan tapi minta polis siasat ambil tindakan.
“Kita tak boleh bertolak ansur jika mereka agen Mossad, kita akan lawan habis-habisan,” desak beliau.