Projek Aerotrain baharu di KLIA dijangka siap lebih awal

- Advertisement -

SEPANG – Projek penggantian Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2025 iaitu lebih awal daripada jangkaan masa yang ditetapkan.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, keupayaan menyiapkan projek dengan cepat itu dimuktamadkan melalui kontrak yang ditandatangani pada 14 Jun lalu antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. dan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. serta IJM Construction Sdn. Bhd. dan PESTECH Technology Sdn.Bhd.

Katanya, tarikh asal untuk projek itu disiapkan ialah pada 31 Mac 2025.

“Sebagai Ketua Penyelarasan Projek, ALSTOM akan menyelia penghantaran tiga tren baharu, menaik taraf dua laluan dan keseluruhan ujian komprehensif diperlukan untuk operasi selamat,” katanya hari ini.

Pada Mac 2022, Malaysia Airports mengumumkan penganugerahan Projek Penggantian Aerotrain KLIA dengan garis masa penyiapan yang dijadualkan selama tiga tahun.

Walau bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan, seterusnya memberikan anugerah projek baharu itu kepada konsortium yang terdiri daripada ALSTOM, IJMC dan PESTECH JV pada Januari 2024.

Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom, pihaknya merakamkan penghargaan atas kesabaran penumpang KLIA semasa pembinaan projek itu dijalankan.

“Penyiapan lebih awal daripada tarikh asal yang dirancang adalah bukti komitmen kami yang tidak henti-henti untuk menambah baik pengalaman penumpang.

“Kemajuan ini bukan sahaja menangani keperluan operasi segera, tetapi mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan terkemuka di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf dunia kepada penumpang,” jelasnya.

Mengikut garis masa projek, Aerotrain baharu dijangka tiba di Malaysia dari China menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

Aerotrain itu kemudiannya akan menjalani pentauliahan dan ujian ketat oleh pihak berkuasa yang berkaitan sebelum operasi rasmi boleh dimulakan. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat