Jangkitan Covid-19 Naik Mendadak, Noor Hisham Rayu Masyarakat Kawal Pergerakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes baharu COVID-19 secara mendadak sejak awal April lepas, telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru, beliau merayu agar masyarakat melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan jangkitan wabak itu.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan rakyat Malaysia adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini. Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!,” katanya dalam satu kenyataan mengenai penularan COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia masih kekal merekodkan kes harian COVID-19 melebihi empat digit dengan kes aktif sudah melebihi angka 40,000, malah kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta, serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara hampir mencecah kapasiti maksimum.

“Lebih membimbangkan, semakin banyak kes positif yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sokongan alat bantuan pernafasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Pada masa yang sama, jumlah kes kematian harian yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Kebangsaan (CPRC) semakin meningkat saban hari,” katanya.

Kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian COVID-19 seperti yang telah berlaku di luar negara berikutan penularan varian baharu COVID-19 termasuk beberapa Varian Yang Membimbangkan (VOC) dalam komuniti dengan kadar penularan lebih cepat dengan kadar kematian yang lebih tinggi.

Justeru, beliau amat berharap semua lapisan masyarakat melaksanakan kawalan pergerakan kendiri dengan duduk di rumah dan tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan penting selain mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama jika terpaksa keluar rumah.

“Majikan juga digalakkan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat