Ketetapan Pemakaian Pelitup Muka Semasa Solat Aidilfitri Dimum Dalam Masa Terdekat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung penetapan pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat Aidilfitri.

Beliau berkata walaupun ia baik untuk langkah pencegahan berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID-19 ketika ini, sebarang ketetapan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka perlu dirujuk kepada kedua-dua institusi tersebut sebelum keputusan mengenainya diambil.

“Dalam Islam memang kita digalak untuk berjaga-jaga, lebih-lebih lagi dalam hal mengawal diri bagi pastikan wabak COVID-19 tidak merebak, namum sebarang ketetapan perlu dirunding dan dibincangkan dengan pihak berwajib terlebih dahulu.

“Saya akan berbincang segera dengan Ketua Pengarah Jakim (Datuk Hakimah Mohd Yusoff) dan Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Prof Madya Luqman Abdullah) bagi melihat keperluan mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh jemaah ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan atau menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika solat Aidilfitri sebagaimana dilakukan Perlis.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini dilaporkan bertitah jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di seluruh Perlis digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID akhir-akhir ini.

Titah berkenaan adalah selaras dengan pelaksanaan solat Aidilfitri di seluruh negeri itu yang turut digalakkan untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan pada 8 pagi, sama seperti pelaksanaan pada tahun sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menjadi tetamu Program Nota Rohani: Raikan Kemenangan Istiqamah Beribadah di Bernama Radio di sini hari ini, Mohd Na’im berkata hasil perbincangan itu kemudiannya akan dibawa dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan sebelum keputusan mengenainya diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan setiap negeri mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggunakan pendekatan sebagaimana dilakukan Perlis bagi bersama-sama menghalang kemungkinan penularan jangkitan COVID-19.

“Bagi masjid dan surau di bawah Jakim, kita akan mulakan perbincangan mengenai ketetapan pemakaian pelitup muka, manakala untuk negeri-negeri lain, kita serahkan kepada kebijaksanaan majlis agama dan pengurusan masjid dan surau menentukan pendekatan terbaik masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan dilaporkan berkata tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat