PUTRAJAYA – Selaras dengan inisiatif kerajaan menangani isu perubahan iklim dan menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050, produk cecair nano berasaskan grafin mampu mengurangkan penggunaan tenaga sistem penyaman udara berpusat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata produk ini juga menjimatkan kos dengan pulangan pelaburan dapat diperoleh dalam masa kurang tiga tahun.

“Kerajaan komited menggunakan teknologi yang dibangunkan bagi mengurangkan kos tenaga sebenar yang ditanggung oleh syarikat komersial supaya produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menjadi lebih berdaya saing.

“Berbanding dengan air, cecair nano berasaskan grafin berupaya meningkatkan pemindahan haba dan mengurangkan penggunaan tenaga (kWh) pada kadar purata 20-30 peratus serta dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara.

“Produk ini juga menjimatkan kos dengan pulangan pelaburan dapat diperoleh dalam masa kurang tiga tahun,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja teknikal ke Blue Snow Consulting and Engineering Sdn Bhd.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, cecair nano berasaskan grafin ini tidak meninggalkan jejak pemasangan disebabkan bahan ini masih menggunakan infrastruktur paip yang sedia ada.

Untuk rekod, projek ini telah dibangunkan oleh Blue Snow Consulting & Engineering Sdn Bhd di bawah Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan (NGAP) 2020 dengan kerjasama NMB Group, yang merupakan agensi utama di Malaysia dalam usaha pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi melalui model pembangun usaha sama.

Kerjasama ini telah dimulakan sejak tahun 2018 bermula dengan peringkat Bukti Konsep hinggalah ke peringkat Peningkatan Skala yang sedang dilaksanakan sekarang.