CYBERJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bakal mengetahui nasibnya esok apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan terhadap rayuan kes yang dihadapinya berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Dalam perkongsian video berdurasi 37 saat di media sosial, Syed Saddiq berkongsi perjalanan panjang yang ditempuh sejak 2020, termasuk tekanan, siasatan, cubaan sogokan, dan ugutan.
Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak akan sesekali menggadaikan prinsip dan maruah, malah memilih untuk berdepan dengan proses perundangan tanpa melengah-lengahkan perbicaraan atau meminta kes digugurkan.
“Saya tidak menerima sogokan, saya tidak melompat parti, saya tidak meminta kes ini digugurkan dan saya tidak cuba melengah-lengahkan proses mahkamah.”
“Saya mahu membersihkan nama saya di mahkamah, walau apa pun risikonya. Saya serahkan segalanya kepada Allah SWT dan keputusan mahkamah. Insya-Allah, kebenaran akan tertegak jua,” katanya.
Tiada Protes, Hanya Doa
Syed Saddiq turut menyeru agar tiada sebarang protes atau serangan terhadap institusi kehakiman selepas keputusan diumumkan esok.
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak untuk mendoakan keadilan dan kebenaran dalam kes yang dihadapinya.
“Berani kerana benar, saya tidak sabar untuk mempertahankan integriti saya di mahkamah.”
“Tiada senjata lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari yang istimewa ini.”
Proses Rayuan di Mahkamah
Sebelum ini, Syed Saddiq memaklumkan bahawa beliau memulakan proses rayuan setelah menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau juga telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, untuk melengkapkan proses berkenaan secepat mungkin.
Keputusan yang bakal diumumkan esok dijangka menjadi penentu kepada perjalanan politik dan masa depan beliau sebagai ahli Parlimen.