Pemimpin PKR Dakwa Sifat Angkuh, Sombong Parti MUDA Jejas Keharmonian PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai angkuh dan sombong.

Farhash juga menganggap sikap angkuh dan sombong MUDA dan Syed Saddiq tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Farhash menegaskan idea terhadap penyatuan parti-parti politik pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) disambut baik oleh PKR serta rundingan kerusi dan segala perancangan bersama parti komponen berjalan dengan baik.

“Namun begitu, sifat angkuh dan sombong yang ditonjolkan rakan baru Pakatan Harapan iaitu MUDA kelihatan menjejaskan keharmonian dan seolah-olah wujud agenda tersembunyi yang lebih besar.

“Walaupun perlu diakui bahawa ini adalah sebahagian proses demokrasi yang wajar dihormati, namun dalam membentuk kerjasama yang kuat dan utuh, ia memerlukan keikhlasan dan kejujuran.

“Jika MUDA tidak menggambarkan sikap toleransi yang baik dan tidak menghormati rakan, maka atas dasar prinsip demokrasi, PKR juga wajar meletakkan calon di kerusi-kerusi yang telah selesai proses rundingan sebelumnya,” katanya.

Beliau menggesa agar Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti semula rundingan dan kerjasama bersama MUDA dalam PRN Johor yang bakal diadakan kelak.

Awal hari ini, Syed Saddiq dalam satu kenyataan menegaskan, MUDA akan menyerahkan keputusan di tangan rakyat Johor sekiranya pertindihan kerusi antara partinya dan PKR tidak dapat dielakkan.

Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan, Muda sentiasa memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Sebelum ini hasil rundingan dengan Amanah dan DAP, MUDA berjaya mendapat enam kerusi termasuk kerusi DUN Puteri Wangsa yang dianggap paling selamat. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat