KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan cadangan pengambilalihan IJM Corporation Bhd oleh Kumpulan Sunway, yang disifatkan boleh menjejaskan kepentingan nasional serta pegangan ekuiti Bumiputera dalam syarikat strategik negara.
Beliau berkata, IJM bukan sebuah syarikat persendirian, sebaliknya dimiliki oleh institusi pelaburan negara termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Jika dicampurkan pegangan institusi-institusi ini, hampir 47.1 peratus saham IJM adalah berkepentingan kerajaan. Ini bukan sekadar urus niaga biasa, tetapi melibatkan kepentingan awam dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, IJM juga mencatat prestasi kewangan memberangsangkan dengan keuntungan hampir RM964.1 juta dan hasil mencecah RM5.92 bilion, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa syarikat yang tidak bermasalah perlu dilepaskan kepada pihak swasta.
Selain itu, IJM memiliki aset strategik termasuk lebuh raya NPE, BESRAYA, LEKAS dan WCE, serta Pelabuhan Kuantan yang mempunyai kepentingan logistik dan keselamatan ekonomi negara.
“Sekiranya pengambilalihan ini berlaku, aset-aset ini akan dikuasai oleh satu syarikat yang dimiliki individu. Ini jelas memberi implikasi besar terhadap kepentingan nasional dan ekuiti Bumiputera,” tegasnya.
Dr Akmal menambah, sebarang keputusan berkaitan penjualan pegangan tersebut perlu dinilai secara teliti oleh kerajaan bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.



