Alif tak beraksi adegan ‘panas’ filem Pulau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak bimbang dikecam atas dakwaan adegan ‘panas’ dan penampilan beberapa pelakon wanita yang dikatakan mencolok mata, pemegang watak utama dalam filem Pulau, Alif Satar menjelaskan dia tidak terbabit secara langsung dalam babak yang boleh mencetuskan kontroversi itu.

Alif, 32, mengaku tidak meletakkan syarat tatkala ditawarkan berlakon dalam filem arahan Euho itu, namun, barangkali penerbit sedar imej dirinya sejak berkecimpung dalam dunia seni kira-kira 16 tahun lalu, dia tidak diberi mana-mana babak dikatakan ‘panas’.

“Saya agak gementar menantikan reaksi penonton. Tetapi saya lega kerana tidak terbabit langsung dalam mana-mana adegan yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Watak saya dalam filem itu lebih kepada menjadi diri sendiri. Saya juga gembira kerana Euho faham.

“Beliau kenal saya, jadi, dia tahu babak yang lebih sesuai untuk saya,” katanya ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon filem ‘thriller’ seram, Pulau yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 9 Mac depan.

Alif berkata, Euho meminta pandangannya ketika penggambaran, terutama jika membabitkan adegan kurang sesuai.

“Saya mengaku sedikit risau. Namun, sepanjang proses penggambaran, kami sentiasa berbincang untuk memastikan adegan dilakonkan tidak keterlaluan.

“Sebab itu, untuk adegan yang mungkin boleh mencetuskan perbalahan penonton, mereka tampilkan pelakon bukan Islam.

“Saya tahu, ramai yang mahu menonton filem ini, apatah lagi sasaran penerbit untuk membawa naskhah ini ke peringkat antarabangsa.

“Disebabkan itulah, pelakon kita majmuk dan dari pelbagai latar belakang,” katanya.

 

Alif ketika majlis memperkenalkan barisan pelakon filem ‘thriller’ seram, Pulau yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 9 Mac depan. - NSTP/Amiruddin Sahib
Alif ketika majlis memperkenalkan barisan pelakon filem ‘thriller’ seram, Pulau yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 9 Mac depan. – NSTP/Amiruddin Sahib

 

Biarpun bukan kali pertama membintangi filem seram kerana pernah tampil dalam filem Alif Dalam 7 Dimensi dan Rasuk, namun, Pulau, bagi Alif, sangat berbeza.

Selain pelakon majmuk, filem terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu turut menampilkan penyanyi, model dan pempengaruh media sosial.

“Sebenarnya, untuk filem ini, saya perlu melalui proses ‘casting’ sebelum diterima berlakon.

“Pada mulanya, saya agak terkejut apabila perlu melalui uji bakat kerana selama 16 tahun dalam industri seni, ini kali pertama saya dikehendaki menjalani proses uji bakat.

“Saya tidak sangka akhirnya terpilih untuk berlakon dalam filem ini. Tetapi, ketika dimaklumkan penggambaran dilakukan di Langkawi selama sebulan, saya terkejut kerana perlu meninggalkan keluarga terlalu lama.

“Jadi, saya buat keputusan membawa mereka bersama-sama dengan saya sepanjang tempoh itu,” katanya.

Selain Alif, Pulau dibintangi Amelia Henderson, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar.

Filem Pulau mengisahkan percutian impian di pulau eksotik berubah menjadi mimpi ngeri dengan pertemuan kisah mistik yang menyeramkan dan kehadiran makhluk ilmu hitam kejam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat