Jadikan tv kerajaan saluran pembelajaran online musim PKP – Ahmad Zahid Hamidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan saluran televisyen milik kerajaan perlu didedikasikan sepenuhnya untuk tujuan pembelajaran dalam talian kepada pelajar pada had masa paling optimum sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, stesen televisyen berbayar juga boleh memainkan peranan yang utama buat rakyat berbanding program hiburan.

“Kerajaan pada 6 April tahun lalu melancarkan TV Pendidikan menerusi TV Okey, Astro Tutor dan Didik TV@NTV7. Satu pendekatan yang baik. Namun pelaksanaannya hanya pada had masa tertentu.

“Dalam keadaan PKP 2.0, saya terfikir bukankah elok jika salah satu saluran televisyen milik kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang sama tapi pada had masa paling optimum.

“Tidak terkecuali, stesen televisyen berbayar boleh juga menyediakan saluran pendidikan tanpa henti sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada murid dan ibu bapa pada waktu sukar ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, slot siaran boleh dibahagikan mengikut mata pelajaran dan subjek teras untuk murid tahun 1 hingga 6 serta pelajar tingkatan 1 hingga 5.

“Pelajar dikehendaki mengikut jadual masa pembelajaran yang ditentukan KPM melalui saluran pendidikan di televisyen itu. Bagi mengelak murid dan ibu bapa terlalu bergantung kepada gajet dan Whatsapp, saya cadangkan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) menyediakan bahan pembelajaran untuk diambil oleh ibu bapa di sekolah seminggu sekali,” jelas beliau.

Selain itu, menurut Ahmad Zahid, jangan terlalu menekan guru dengan soal pelaporan, dokumentasi serta menetapkan KPI dengan impak PDPR yang akhirnya menyusahkan pihak guru dan seterusnya menjadi bebanan pelajar dan ibu bapa.

“Apa-apa pun saya menyanjung tinggi peranan guru dalam mendidik anak bangsa. Merekalah pembentuk generasi dan pemimpin gemilang,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengakui isu pembukaan semula sekolah semakin rumit selepas kerajaan pada 16 Januari lalu membuat keputusan ia ditangguhkan ekoran kes Covid-19 yang masih tinggi dan menunjukkan trend peningkatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat