KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) kini bertapak di Semenanjung Malaysia selepas selepas melancarkan parti itu ke peringkat nasional di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau mahu memberi fokus pada penyatuan ummah tanpa mengira bangsa dan agama.

Hadir sama Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan menjalinkan kerjasama dengan Parti Warisan secara rasmi.

Shafie menjanjikan peralihan daripada politik berasaskan kaum dan agama kepada asas keterangkuman.

“Di mana silap kita? Di mana kita sekarang? Ini yang saya sangat bimbang.

“Kita sediakan landasan ini supaya berlaku perubahan struktur dalam politik. Perlu ada peralihan daripada sistem politik berasaskan kaum dan agama kepada kepelbagaian kaum yang lebih inklusif di negara ini.

“Peralihan perlu ada sekarang. Ia tak boleh ditunggu. Bukan, esok, mingguu depan, tahun depan. Kita mulakan hari ini di Kuala Lumpur,” kata Shafie.

Menurut Shafie, banyak negara yang berjalan dengan baik tanpa parti berasaskan kaum mahupun agama.

“Sudah lebih 60 tahun merdeka (tapi) masih dibangkitkan persoalan kaum. Orang Melayu tak akan mati kalau tiada UMNO.

“Islam negara (persekutuan) Malaysia (dan) tak akan lumpuh kalau tiada PAS. Orang Cina tak akan mati jika tiada DAP,” katanya lagi, yang menyifatkan isu kaum dan agama telah memecah-belahkan Malaysia.